Warisan buat laporan polis nafi himpunan solidariti untuk Shafie Apdal

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 11:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warisan buat laporan polis nafi himpunan solidariti untuk Shafie Apdal
Loretto (tiga dari kanan) selepas selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan kononnya parti itu menganjurkan satu perhimpunan solidariti untuk Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Ahad ini.

Laporan polis berkenaan dibuat oleh Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr pada malam Khamis susulan fitnah yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Terdapat dakwaan kononnya satu perhimpunan solidariti untuk Mohd Shafie akan diadakan pada jam 2 petang, 2 Ogos ini di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

"Poster tersebut telah disebarkan melalui media massa. Tindakan ini bukan sahaja mengelirukan orang awam yang tidak mengetahui perkara sebenar.

"Malah ia mencemarkan imej Presiden Warisan serta parti secara keseluruhannya sedangkan pihak parti tidak pernah merancang untuk menganjurkan perhimpunan sedemikian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Loretto dalam pada itu berkata, kenyataan media itu juga penting bagi mengingatkan orang ramai, khususnya mereka yang berada di luar Kota Kinabalu, supaya tidak datang semata-mata untuk menghadiri perhimpunan yang sebenarnya tidak wujud.

Sementara itu, mengulas rayuan yang difailkan Mohd Shafie berhubung keputusan mahkamah baru-baru ini, Loretto berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada proses perundangan.

"Berhubung rayuan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, buat masa ini biarlah ia melalui proses undang-undang yang sewajarnya," katanya.

Mohd Shafie pada Rabu lalu dijatuhkan hukuman penjara lima minggu di Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataan yang dibuatnya berkaitan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, beliau akan memfailkan rayuan dan menyebabkan hukuman tidak terlaksana serta merta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved