SHAH ALAM - Parti Wawasan Negara (Wawasan) mempersoalkan sama ada terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggantung Perikatan Nasional (PN), yang berlaku bertepatan dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Wawasan memberitahu, pihak mereka dimaklumkan mengenai tindakan RoS untuk menggantung PN, sekali gus mempersoalkan sama ada pengeluaran kedua-dua notis mempunyai kaitan dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka mengenai pembubaran DUN Melaka.
"Wawasan Negara mempersoalkan sama ada terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik pengeluaran notis-notis tersebut, yang bertepatan dengan pengumuman Ketua Menteri Melaka mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka.
"Wawasan Negara beranggapan tindakan ini adalah bermotifkan politik dan bertujuan menyekat PN daripada bertanding dalam PRN Negeri Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, RoS menegaskan pendaftaran PN tidak dibatalkan, sebaliknya gabungan itu kini dikenakan perintah penggantungan semua kegiatan berkuat kuasa Rabu.
RoS dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dan memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.
Bagaimanapun, Wawasan menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan parti komponen PN bagi memastikan jentera dan persiapan menghadapi PRN Melaka berjalan seperti yang dirancang.






