‘Yang di India pun sibuk nak tahu PAU’

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 6:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Yang di India pun sibuk nak tahu PAU’

KUALA LUMPUR: “Sebenci mana mereka pada UMNO, mereka tetap nak tahu apa berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).”

Demikian sindiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap pihak yang tetap mengikuti perkembangan parti itu walaupun mempunyai kebencian terhadap UMNO.

Beliau malah mendakwa, pihak yang berada di India juga mengambil tahu perkembangan PAU sehingga menyifatkan UMNO perlu belajar daripada guru.

“Itu sebab saya sebut, sebenci mana mereka pada UMNO tetapi mereka tetap nak tahu apa berlaku dalam Perhimpunan UMNO.

“Malah, ada di India sekarang pun, apa dia tulis situ? Dia suruh kita belajar daripada guru,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena PAU 2026, hari ini.

Ahmad Zahid kemudian membidas seruan supaya UMNO belajar daripada pihak berkenaan dengan menyelitkan perumpamaan berkaitan guru.

“Kita nak ingatkan guru itu, kalau guru kencing berdiri, kami bukan kencing berlari.

“Kami memang minat filem Tamil, itu Hollywood dari India. Kita tak ikut dia. Kalau dia jadi guru kita, tidak kurang juga kita ada guru besar yang mengajar kita,” katanya.

Beliau berkata, UMNO tidak akan menerima sewenang-wenangnya pihak yang mahu mengajar atau menentukan hala tuju parti berkenaan.

“Dan sebelum sesiapa yang nak mengajar kita, itu batu api pertama,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengakhiri sindirannya dengan memetik peribahasa berkaitan pentingnya memilih guru dan menuntut ilmu dengan betul.

“Berguru ke padang datar, anak rusa belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial berkata, anak didik diharap dapat mempelajari bagaimana Diplomasi Madani diterjemahkan dalam misi membawa nama Malaysia di pentas dunia.

Anwar berkata demikian selepas tiba di New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

Hantaran itu dibuat sehari selepas Ahmad Zahid menggunakan istilah ‘guru’ dalam ucapan dasar Presiden UMNO ketika menggesa golongan berkenaan mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat. – UTUSAN

The post ‘Yang di India pun sibuk nak tahu PAU’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved