hamden16/11/2026 - 18:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Zetrix AI Berhad (Zetrix AI) mengambil langkah ke arah memasuki pasaran China selepas ejen kecerdasan buatan (AI) Avatar miliknya menerima penarafan keselamatan Tahap 3 (L3) atau 'Cemerlang' di negara itu.
Pengiktirafan berkenaan mengukuhkan kelayakan Avatar sebagai penyelesaian AI autonomi yang dipercayai, ketika syarikat itu berusaha mendapatkan kelulusan kawal selia untuk beroperasi di China menerusi usaha sama dengan sebuah perusahaan milik kerajaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu, Avatar Agent V1.0.0 menerima penarafan itu selepas menjalani Penilaian Penggredan Keselamatan Aplikasi Ejen AI yang dilaksanakan China Telecommunication Technology Labs (CTTL), di bawah China Academy of Information and Communications Technology (CAICT).
CAICT merupakan institut penyelidikan saintifik yang bernaung secara langsung di bawah Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT).
Penilaian itu mengukur ciri perlindungan keselamatan bagi melindungi data pengguna, mencegah operasi tanpa kebenaran serta memastikan kawalan terhadap ejen AI autonomi.
Langkah bermakna memasuki pasaran China
Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, pengiktirafan di bawah rangka kerja penilaian keselamatan ejen AI China itu mengesahkan keupayaan keselamatan Avatar.
"Ia juga menandakan satu langkah bermakna ke arah rancangan kami memasuki pasaran China menerusi usaha sama dengan sebuah perusahaan milik kerajaan, tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang diperlukan," katanya dalam kenyataan.
Penarafan Avatar itu dikeluarkan pada 28 Oktober 2026 sebagai sebahagian daripada pusingan pertama penilaian di bawah rangka kerja penggredan keselamatan yang dibangunkan Jawatankuasa Tadbir Urus Keselamatan Artificial Intelligence Industry Alliance (AIIA).
Rangka kerja itu merangkumi sembilan dimensi penilaian utama, termasuk keselamatan model asas, penggunaan alat, kawalan keselamatan kandungan, kebolehpercayaan pelaksanaan tugasan, pengurusan keselamatan data, kawalan identiti dan akses, ketelusan serta kebolehjelasan, keselamatan persekitaran pelaksanaan dan kerjasama berbilang ejen.
Aplikasi yang dinilai dikategorikan kepada empat tahap, bermula daripada Asas (L1) hingga Cemerlang (L4).
Penarafan L3 yang diterima Avatar menunjukkan pematuhannya terhadap keperluan keselamatan tahap Cemerlang di bawah rangka kerja itu, sekali gus memberikan jaminan tambahan kepada organisasi yang ingin menggunakan ejen AI dalam operasi perniagaan.
Rujukan pasaran antarabangsa
Menurut Zetrix AI, penilaian yang diiktiraf di China itu juga boleh menjadi rujukan bagi pasaran antarabangsa yang masih membangunkan piawaian khusus keselamatan ejen AI, sekali gus menyokong hasrat pengembangan global syarikat.
Awal bulan ini, Zetrix AI melancarkan perkhidmatan Know Your Agent (KYA) dengan kerjasama CAICT bagi mengesahkan identiti ejen AI, pihak yang diwakilinya serta perkara yang dibenarkan untuk dilaksanakan.
Zetrix AI turut melaksanakan projek rintis rentas sempadan membabitkan CAICT, Omantel, Airtel Africa dan Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI), yang merangkumi rantau Timur Tengah, Afrika, China dan ASEAN.
SAMENA Telecommunications Council akan menyokong inisiatif itu dengan memudah cara penglibatan pengendali telekomunikasi, menggalakkan penggunaan AI berteraskan kepercayaan serta membawa keperluan industri serantau ke dalam perbincangan antarabangsa projek rintis berkenaan.
Dapatan projek rintis itu akan dikemukakan kepada Kumpulan Kajian 17 Sektor Penyeragaman Telekomunikasi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU-T SG17), menerusi Focus Group on Trust and Identity for Humans and Agentic AI (FG-TIDA). - DagangNews.com





