Aaron-Wooi Yik ada KPI sendiri

16 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aaron-Wooi Yik ada KPI sendiri

PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia menyuarakan kesediaan untuk memberikan segala-galanya dalam usaha melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bersama Soh Wooi Yik.

Menerusi perbincangan yang dibuat bersama barisan kejurulatihan sebelum kembali membentuk gandingan bersama Wooi Yik, Aaron mengakui badan induk itu ada meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada mereka.

Aaron berkata, dia akan menggunakan masa yang ada bagi melakukan persiapan terbaik sebelum memberikan segala-galanya sebaik sahaja saingan kelayakan ke Sukan Olimpik bermula Mei tahun depan.

“Saya rasa memang sudah jelas daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) sebaik sahaja Sukan Asia berakhir, kami akan kembali kepada gandingan asal. Kita ikut sahaja perancangan jurulatih dan fokus apa yang patut.

“Memang sentiasa ada KPI buat kami sebab kami paling senior di BAM. Kami juga ada meletakkan KPI pada diri sendiri kerana apabila kelayakan (ke Olimpik) bermula tahun depan, kami akan berikan segala-galanya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Sebelum ini, BAM menerusi Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk Seri Lee Chong Wei mengumumkan Aaron dan Wooi Yik akan kembali membentuk gandingan sebaik sahaja Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun melabuhkan tirainya.

Menjelang Sukan Asia yang dijadualkan membuka tirainya 19 September ini, Aaron akan bergandingan bersama Tee Kai Wun dalam misi menamatkan kemarau pingat emas kem badminton negara selama dua dekad.

Tambah Aaron, dia tidak ada sebarang masalah untuk bertukar gandingan seperti yang dilakukan BAM sebelum ini kerana menganggap ia merupakan salah satu cara menyuntik semula motivasi setiap beregu.

“Bagi saya, memang tidak ada masalah untuk berganding semula dengan Wooi Yik kerana kami sudah lama bersama. Harap selepas Sukan Asia, kami akan kembali fokus kepada pasangan masing-masing,” ujarnya.

Sebaik sahaja Sukan Asia melabuhkan tirainya, Aaron dan Wooi Yik akan kembali menjalani latihan bersama Wooi Yik sebelum menyertai jelajah Eropah pada kejohanan Terbuka Denmark, Perancis dan Hylo.

 

The post Aaron-Wooi Yik ada KPI sendiri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved