
SERDANG: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki Johor mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas sekali gus memadam rekod Sukan Malaysia (SUKMA) yang bertahan selama 10 tahun pada saingan SUKMA 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Kuartet Johor yang dibarisi Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar, Adam Harith Hairulaydel dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencatat masa 39.46 saat (s) untuk muncul juara meleburkan rekod temasya milik Melaka iaitu 39.89s pada edisi 2016.
Perak menjadi milik kuartet Sabah dengan catatan masa 39.88s manakala gangsa diraih Selangor (40.29s).
Lebih manis, kejayaan itu hadir tanpa diletakkan sasaran untuk memecahkan rekod, sebaliknya kuartet tersebut hanya memasang impian untuk menempatkan Johor di podium.
Pelari pecut negara, Danish berkata, kejayaan tersebut disifatkan sebagai rezeki daripada Allah selain hasil kepercayaan dalam pasukan.

“Sesuatu yang mengejutkan bagi Johor untuk mengungguli acara 4×100 ini. Ini bukan satu keajaiban ataupun satu perancangan, ini adalah rezeki yang Allah bagi untuk kami.
“Alhamdulillah, kami berjaya buat rekod baharu kejohanan dan pingat emas untuk Johor. Kami tidak pernah menjangkakannya dan alhamdulillah, kami sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Itu merupakan emas kedua Danish pada temasya kali ini selepas kejayaannya memenangi acara 100m semalam dengan catatan masa 10.27s.
Dalam pada itu, Airiel berkata kejayaan memenangi emas itu berjaya mengubati kekecewaan yang dialaminya selepas gagal meraih podium pada acara 100m.
“Perasaan kecewa itu memang ada tetapi kawan-kawan jugalah yang tenangkan saya dan beri semangat sehinggalah saya boleh buat rekod baru ini, alhamdulillah” katanya. – UTUSAN
The post Kuartet 4x100m Johor lebur rekod 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.






