Amir Hamzah fokus tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan II hingga 11 Disember

Business & Finance
23 Nov 2026 • 1:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Amir Hamzah fokus tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan II hingga 11 Disember

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan mandat dan tanggungjawabnya sehingga tamat penggal perkhidmatan pada 11 Disember ini, tanpa memikirkan kedudukan seterusnya.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan segala amanah yang diberikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin sehingga hari terakhir tempoh perkhidmatannya.

Katanya, sebarang perkembangan berkaitan kemungkinan menyambung penggal perkhidmatan akan dipertimbangkan kemudian dan bukan menjadi keutamaannya buat masa ini.

“Saya akan habiskan penggal saya pada 11 Disember. Buat masa sekarang, pendekatan saya adalah memberi tumpuan kepada mandat yang diberikan kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program iTEKAD bersama Maybank, di sini hari ini.

Mengulas kemungkinan dilantik semula bagi penggal seterusnya, Amir Hamzah berkata, beliau tidak mahu mendahului sebarang keputusan, sebaliknya mahu memastikan tanggungjawab semasa diselesaikan terlebih dahulu.

“Apa yang jadi lepas itu, kita tengok dulu. Fokus saya adalah buat kerja dulu. Bagi habis kerja dulu. Yang itu yang penting,” katanya. 

Amir Hamzah, yang mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam sektor korporat, memulakan kerjayanya bersama Kumpulan Syarikat Shell sebelum menyertai MISC Bhd. pada 2000 dan kemudiannya menerajui beberapa organisasi utama termasuk Petronas Dagangan Bhd., Petronas Lubricants International, Icon Offshore Bhd serta Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB pada April 2019 sebelum menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai CEO mulai Mac 2021.

Bagaimanapun, perjalanan kerjaya beliau beralih ke sektor pentadbiran kerajaan apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan II susulan rombakan Kabinet pada 12 Disember 2023, selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara pada hari sama.

Berdasarkan rekod Parlimen Malaysia, tempoh lantikan beliau sebagai Senator adalah dari 12 Disember 2023 hingga 11 Disember 2026.-UTUSAN

The post Amir Hamzah fokus tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan II hingga 11 Disember appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved