
SUBANG JAYA – Sebuah helikopter terbakar ketika hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas menjalani kerja-kerja pembaikan di kawasan Karbon MRO, Lapangan Terbang Subang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, empat mangsa yang berada dalam helikopter berkenaan dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan berada dalam keadaan selamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian, iaitu pada jam 12.34 tengah hari.
“Komander operasi memaklumkan terdapat sebuah helikopter terbakar 100 peratus ketika pihak bomba tiba di lokasi.
“Kerja-kerja pemadaman turut dilakukan oleh pasukan bomba lapangan terbang bersama anggota bertugas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan terkini mengesahkan kesemua empat mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.
Sebelum ini, kejadian tersebut turut menarik perhatian orang ramai di sekitar Lapangan Terbang Subang selepas kelihatan kepulan asap tebal serta jentera bomba berhampiran kawasan lapangan terbang.
Situasi berkenaan kemudiannya menjadi perhatian pengguna media sosial yang mempersoalkan punca kepulan asap sebelum mendapati pasukan bomba berada di lokasi kejadian.
Setakat ini, punca sebenar kebakaran serta jumlah kerosakan yang dialami helikopter berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
The post Asap tebal curi perhatian, helikopter terbakar sebelum berlepas appeared first on MYBERITA.






