ASUS Memberi Pilihan Menaiktaraf Sistem Operasi ASUS ROG Phone 9 Ke Android 16 Melalui Program Beta

TechnologyGaming
20 Aug 2025 • 6:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Berita baik untuk para pengguna siri peranti pintar gaming premium ASUS ROG Phone 9. ASUS baru-baru ini telah mengesahkan bahawa mereka telah mula memperkenalkan program beta yang membolehkan mereka untuk menaiktarafkan peranti tersebut ke sistem operasi Android 16 yang terbaru.

image is not available

Untuk memulakan proses penaiktarafan ini, pengguna akan perlu ke menu Settings > System > System update, klik ikon gear di bahagian sisi atas skrin dan pilih untuk menyertai program ujian beta Android Preview.

image is not available

Jika anda melihat peranti anda mempunyai pilihan ini, dan memilih untuk menyertai program beta tersebut, peranti anda akan memuat-turun kemaskini yang diperlukan untuk menaiktaraf sistem operasi peranti ini ke Android 16.

Walaupun begitu, pihak ASUS juga mengatakan oleh kerana program beta ini mengandungi kemaskini yang belum dioptimasi lagi, pengguna akan perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai pepijat yang mungkin diperlihatkan dengan sistem operasi ini. Mereka yang menyertai program ini secara ringkasnya bagaikan tikus makmal yang akan memperlihatkan apakah isu yang perlu diperbaiki oleh pihak ASUS sebelum kemaskini ini diperkenalkan secara rasmi.

image is not available

Satu lagi isu besar yang diperlihatkan dengan kemaskini ini ialah pengguna tidak akan boleh pergi balik ke sistem operasi Android 15, melainkan mereka set semula peranti tersebut.

ASUS tidak mengesahkan bilakah sistem operasi Android 16 akan diperkenalkan secara rasmi, tetapi jangkaan orang ramai ialah ia akan tiba pada sekitar penghujung 2025 ataupun awal 2026. Kemaskini Android 16 juga merupakan satu daripada dua kemaskini sistem operasi yang dijanjikan ASUS untuk siri peranti ROG Phone 9.

Perlu juga diingatkan bahawa kemaskini ini hanya tertakluk kepada pemilik peranti ASUS ROG Phone 9, ASUS ROG Phone 9 Pro dan ASUS ROG Phone 9 Pro Edition. Jika anda menggunakan peranti ASUS ROG Phone 9 FE, ia tidak termasuk dalam ujian beta ini.