
SERDANG - Cuaca panas terik menjejaskan beberapa atlet pada hari pertama acara olahraga SUKMA 2026 hari ini apabila lebih enam atlet dilaporkan menerima rawatan akibat dehidrasi serta gejala berkaitan cuaca panas di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut laporan Media Selangor, kejadian berlaku ketika berlangsungnya acara lari berhalangan 3,000 meter lelaki dan wanita sekitar jam 4 petang, ketika suhu dilaporkan melebihi 33 darjah Celsius.
Pasukan perubatan dilihat segera memberikan rawatan kepada beberapa atlet yang mengalami kesukaran selepas menamatkan perlumbaan.
Pelari Selangor, Siti Nur Fatihah Mohamad Adham, antara atlet yang terjejas apabila dia rebah kira-kira 30 meter sebelum garisan penamat selepas gagal melepasi halangan terakhir.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai kontinjen dan penonton, selain menimbulkan persoalan mengenai keputusan untuk menganjurkan acara berintensiti tinggi pada waktu petang ketika cuaca panas.
Beberapa wakil kontinjen memberitahu Media Selangor, mereka sebelum ini sudah menyuarakan kebimbangan berhubung waktu perlumbaan kepada pihak penganjur.
Menurut seorang wakil kontinjen, pihaknya turut mencadangkan agar acara berkenaan dijadualkan pada waktu yang lebih redup bagi mengurangkan risiko terhadap atlet, namun jadual asal tetap diteruskan.
“Kami sudah menyuarakan kebimbangan mengenai waktu perlumbaan, tetapi pihak penganjur memutuskan untuk mengekalkan jadual tersebut.
“Amat mendukacitakan kerana atlet-atlet ini sudah berlatih begitu keras, sedangkan kejadian seperti ini mungkin boleh dielakkan sekiranya kebimbangan kami diambil kira,” katanya.
Pasukan perubatan di stadium bertindak pantas memberikan bantuan kepada atlet yang terjejas, manakala ambulans turut disediakan bagi membawa mereka ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang sekiranya rawatan lanjut diperlukan.
Insiden berkenaan dijangka kembali membuka perbincangan mengenai kesesuaian penjadualan acara olahraga berintensiti tinggi, khususnya apabila atlet perlu bertanding dalam keadaan cuaca panas pada sebelah petang. - Getaran, 17 Ogos 2026






