Bas elektrik mampu jimatkan kos penyelenggaraan HI Mobility sehingga 70% - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 10:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bas elektrik mampu jimatkan kos penyelenggaraan HI Mobility sehingga 70% - Penganalisis Image from: Bas elektrik mampu jimatkan kos penyelenggaraan HI Mobility sehingga 70% - Penganalisis sarah24/11/2026 - 10:57 Gambar hiasan dari laman web HI Mobility. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Peralihan kepada bas elektrik menerusi kontrak baharu bernilai RM665.68 juta di Johor Bahru berpotensi meningkatkan margin keuntungan HI Mobility Berhad apabila kos tenaga dan penyelenggaraan masing-masing dijangka berkurangan sekitar 50% dan 70% berbanding penggunaan bas diesel.

 

CGS International (CGSI) berkata, penggunaan bas elektrik turut menawarkan kelebihan kepada HI Mobility menerusi kadar bayaran bagi setiap kilometer perjalanan yang sekitar 50% lebih tinggi berbanding bas diesel.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menganggarkan kos perolehan sebuah bas elektrik sekitar RM950,000 berbanding sehingga RM600,000 bagi sebuah bas diesel, sekali gus memerlukan perbelanjaan modal lebih tinggi.

 

CGSI melihat potensi margin keuntungan kasar kontrak baharu itu mencecah antara 19% hingga 21%, namun mengambil pendekatan konservatif dengan menggunakan anggaran antara 17% hingga 18% dalam unjuran kewangannya.

 

Buku tempahan meningkat 208%

CGSI turut menganggarkan kontrak di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST 2.0) itu meningkatkan buku tempahan perkhidmatan bas berasaskan kontrak kos kasar HI Mobility sebanyak 208% kepada RM786 juta daripada RM255 juta.

 

Menerusi model pembayaran berdasarkan jarak perjalanan dan bukan kutipan tambang penumpang, pendapatan daripada kontrak tersebut kurang terdedah kepada turun naik jumlah penumpang, sekali gus memberikan kestabilan hasil sehingga akhir 2031.

 

Sementara itu, CIMB Securities menganggarkan kontrak baharu berkenaan menjana purata hasil RM133.1 juta setahun, hampir dua kali ganda berbanding RM67.5 juta setahun di bawah lanjutan kontrak sedia ada.

 

Menurut firma penyelidikan itu, jumlah bas bagi program berkenaan akan meningkat 45% daripada 162 kepada 235 buah, termasuk 102 bas elektrik, manakala jumlah laluan bertambah daripada 21 kepada 23.

 

Potensi pendapatan tambahan menerusi RTS Link

CGSI turut mengenal pasti peluang pendapatan tambahan menerusi pembangunan dan pengurusan terminal bas yang akan menghubungkan stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Bukit Chagar dengan rangkaian bas sedia ada di Johor Bahru, yang belum diambil kira dalam unjuran hasilnya.

 

Terdahulu, DagangNews.com melaporkan HI Mobility menerusi anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah Sdn Bhd, memperoleh kontrak daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengendalikan rangkaian bas Johor Bahru mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2031.

 

Keuntungan dijangka cecah RM100 juta

CIMB Securities menjangkakan keuntungan bersih teras HI Mobility meningkat 28% kepada RM91 juta pada tahun kewangan 2028 (FY28) sebelum mencecah RM100 juta pada FY29, disokong penggunaan bas tambahan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun pertama kontrak tersebut.

 

CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan harga sasaran kepada RM3 daripada RM2.80, manakala CGSI mengekalkan saranan 'tambah pegangan' dengan harga sasaran RM2.86 berbanding RM2.78 sebelum ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved