Belanjawan 2027: ACCA saran geran digital PMKS turut biayai khidmat akauntan dan penasihat profesional

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 5:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: ACCA saran geran digital PMKS turut biayai khidmat akauntan dan penasihat profesional Image from: Belanjawan 2027: ACCA saran geran digital PMKS turut biayai khidmat akauntan dan penasihat profesional liza02/10/2026 - 17:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – Belanjawan 2027 perlu melangkaui pemberian geran untuk pembelian perisian dan perkakasan digital dengan turut menanggung kos penasihat yang membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggunakan teknologi secara berkesan, menurut Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

 

Ketua Portfolio ACCA bagi Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei, Andrew Lim berkata kos sememangnya menjadi halangan utama kepada pendigitalan, dengan 62% perniagaan menyenaraikannya sebagai cabaran, diikuti kemahiran sebanyak 46% dan kekangan masa 32%.

 

Menurutnya, pemberian bantuan untuk membeli teknologi sahaja tidak semestinya menyelesaikan masalah kerana teknologi yang dibiayai mungkin tidak digunakan sepenuhnya sekiranya PMKS kekurangan kemahiran dan panduan untuk mengintegrasikannya dalam operasi harian.

 

Sehubungan itu, khidmat akauntan atau penasihat profesional yang boleh membimbing PMKS dalam proses pendigitalan perlu turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada sokongan Belanjawan 2027, bukan sekadar bergantung kepada vendor teknologi atau portal geran.

 

Cukai perlu lebih jelas, tempoh persediaan lebih panjang

Dalam pandangan menjelang Belanjawan 2027, beliau berkata kerajaan juga perlu memberikan kepastian cukai yang lebih baik kepada PMKS, termasuk memastikan peraturan akhir Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dimuktamadkan sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berkuat kuasa.

 

“Panduan khusus mengikut sektor juga wajar diterbitkan pada masa yang sama, manakala tempoh peralihan perlu diberikan supaya kesilapan sebenar dapat diperbetulkan tanpa terus dikenakan penalti.

 

“Perkara itu penting kerana kebanyakan syarikat kecil tidak mempunyai jabatan cukai khusus, menyebabkan perubahan peraturan secara mengejut boleh mengalihkan perhatian pemilik daripada operasi harian. 

 

“Pada masa sama, insentif kerajaan perlu lebih menjurus kepada peningkatan produktiviti yang boleh diukur, termasuk penggunaan automasi, sistem digital, naik taraf peralatan dan penyelidikan serta pembangunan (R&D),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bukan sekadar teknologi, PMKS perlukan kemahiran

Beliau turut mencadangkan supaya sokongan pembiayaan diberikan kepada PMKS pada peringkat mereka benar-benar bersedia untuk meningkatkan skala operasi, termasuk melalui bantuan dalam perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai dan penyediaan maklumat kewangan yang boleh dipercayai.

 

“Jurang pembiayaan bukan semata-mata disebabkan kekurangan modal, tetapi turut berkait dengan tahap kesediaan sesetengah PMKS menyediakan maklumat kewangan yang diperlukan oleh pemberi pinjaman dan pelabur,” katanya.

 

Dalam perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) pula, ACCA bersama Chartered Accountants Australia and New Zealand (CA ANZ) mendapati 72% profesional kewangan hanya mempunyai kemahiran asas atau tiada kemahiran dalam AI generatif.

 

Justeru, ACCA berpandangan data yang boleh dipercayai, proses kerja yang baik dan tadbir urus perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum teknologi AI digunakan secara lebih meluas. 

 

Buka lebih banyak laluan ke pasaran global

Bagi membantu PMKS melangkaui pasaran tempatan, sokongan kerajaan juga perlu merangkumi modal pertumbuhan, bantuan eksport serta hubungan yang lebih tersusun antara PMKS, syarikat besar dan syarikat multinasional.

 

Beliau berkata pembangunan pembekal tempatan dan pemindahan teknologi melalui pelaburan berskala besar boleh membantu meningkatkan limpahan manfaat kepada syarikat tempatan.

 

“Sokongan juga perlu disasarkan kepada PMKS yang mempunyai potensi untuk mempelbagaikan pasaran, bergerak ke aktiviti bernilai lebih tinggi serta membangunkan produk, keupayaan dan harta intelek yang mampu bersaing di peringkat serantau. 

 

“Pada masa sama, sokongan kelestarian perlu disesuaikan dengan kemampuan PMKS, terutama apabila mereka mula diminta menyediakan data berkaitan pelepasan, tadbir urus dan kelestarian oleh pelanggan, pelabur, pemberi pinjaman atau rantaian bekalan,” katanya.

 

Beliau mencadangkan Belanjawan 2027 menyediakan latihan dan khidmat nasihat kelestarian yang mudah dicapai, selain menggalakkan syarikat lebih besar membantu membina keupayaan pembekal mereka, bukannya sekadar meminta data.

 

Secara keseluruhan, ACCA berkata Belanjawan 2027 tidak semestinya memerlukan peruntukan lebih besar, sebaliknya sokongan yang lebih saling berkaitan dengan cara PMKS membuat Keputusan, daripada kepastian cukai dan pembiayaan, kepada produktiviti, kepakaran digital, akses pasaran serta keupayaan memenuhi tuntutan kelestarian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved