
KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Brendon Carolan menyuarakan rasa kecewa atas kekalahan 4-7 kepada Ireland pada aksi klasifikasi tempat kesembilan hingga 16 saingan Piala Dunia 2026.
Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Hoki Belfius, Belgium malam kelmarin, Malaysia mempamerkan aksi cukup baik dari segi serangan, namun kerapuhan benteng pertahanan meranapkan harapan Speedy Tigers.
Justeru, Carolan menggesa anak-anak buahnya supaya menampilkan aksi lebih baik apabila turun berdepan Afrika Selatan bagi memastikan pasukan negara layak sekurang-kurangnya ke aksi penentuan tempat ke-11.
“Saya fikir prestasi kami sangat mengecewakan pada perlawanan hari ini (kelmarin). Saya menjangkakan aksi lebih baik daripada pasukan, tetapi malang sekali kami melepaskan banyak gol mudah.
“Buat masa sekarang, misi pasukan adalah untuk mencatat keputusan yang baik ketika berdepan Afrika Selatan nanti. Kami perlu memperbaiki benteng pertahanan kerana hari ini (kelmarin) ia sangat rapuh,” katanya.
Pada aksi peringkat Kumpulan B sebelum ini, Malaysia gagal untuk mencatat sebarang kemenangan apabila tewas 1-5 kepada Jerman dan Belgium (3-5) selain melakar keputusan seri 1-1 ketika berdepan Perancis.
Sementara itu, Carolan tetap berwaspada dengan ancaman Afrika Selatan memandangkan pasukan berkenaan berjaya mengikat pasukan gergasi dunia, Australia 2-2 dalam saingan peringkat Kumpulan C sebelum ini.
The post Benteng pertahanan Speedy Tigers rapuh appeared first on Kosmo Digital.






