
PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara tidak punya banyak masa untuk meratapi kekalahan 4-7 kepada Ireland kelmarin apabila Afrika Selatan sudah menanti dalam aksi klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16 Piala Dunia 2026, malam ini.
Perlawanan itu menjadi medan penting buat Speedy Tigers untuk bangkit selepas persembahan hambar ketika berdepan Ireland, terutama selepas melepaskan tiga gol mudah pada awal permainan yang menyukarkan usaha mereka untuk kembali dalam perlawanan.
Ketua jurulatih negara, Brendan Carolan mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya, namun pada masa sama melihat perasaan itu sebagai petanda tahap sasaran pasukan sudah berubah apabila berdepan lawan dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Saya sangat kecewa dengan persembahan ketika menentang Ireland kerana kami mengharapkan lebih baik, tetapi melepaskan terlalu banyak gol mudah pada awal permainan menyebabkan perlawanan menjadi sukar untuk dikejar.
“Bagi kami kecewa dengan keputusan menentang pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia menunjukkan kedudukan kami ketika ini, tetapi kami perlu meningkatkan standard permainan terutama dari segi pertahanan,” katanya.
Malaysia sebelum itu menamatkan saingan Kumpulan B di tempat tercorot dengan satu mata selepas seri 3-3 dengan Perancis selain tewas 1-5 kepada Jerman dan 3-5 kepada Belgium, sebelum Ireland pula menghukum kelemahan benteng negara dengan tujuh jaringan dalam aksi pertama klasifikasi.
Sebaliknya, Afrika Selatan hadir dengan keyakinan lebih tinggi selepas mencatat keputusan mengejutkan sepanjang saingan termasuk menewaskan Perancis 3-1 kelmarin serta mengikat Australia 2-2, selain tewas 1-3 kepada Sepanyol dan 1-4 kepada Ireland dalam Kumpulan C.
“Bagi kami, perkara paling penting adalah mendapatkan keputusan menentang Afrika Selatan dan memperbaiki standard persembahan dari segi pertahanan kerana kami tidak cukup baik hari ini, walaupun kami masih mampu menjaringkan gol.
“Afrika Selatan adalah pasukan yang sangat bagus, mereka seri dengan Australia dan menewaskan Perancis, jadi ini akan menjadi ujian yang baik buat kami, tetapi perkara itu tidak relevan kerana kami perlu mencari jalan untuk menewaskan mereka,” katanya. -UTUSAN
The post Carolan mahu Speedy Tigers tebus maruah appeared first on Utusan Malaysia.






