Binastra, Dynamicz sepakat tamatkan kontrak RM160 juta bina 560 unit pejabat di Damansara Perdana

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Binastra, Dynamicz sepakat tamatkan kontrak RM160 juta bina 560 unit pejabat di Damansara Perdana Image from: Binastra, Dynamicz sepakat tamatkan kontrak RM160 juta bina 560 unit pejabat di Damansara Perdana liza23/11/2026 - 17:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – Binastra Corporation Berhad bersetuju menamatkan kontrak kerja perobohan dan pembinaan bangunan utama bernilai RM160 juta dengan Dynamicz Sdn Bhd, susulan keputusan bersama kedua-dua pihak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata penamatan itu dipersetujui bagi membolehkan Dynamicz menyemak semula pelan pelaksanaan projek serta strategi perolehannya.

 

Penamatan kontrak berkenaan membabitkan anak syarikat milik penuh Binastra iaitu Binastra Builders Sdn Bhd (BBSB), yang sebelum ini menerima surat anugerah daripada Dynamicz pada 2 Ogos 2024.

 

Kontrak bernilai RM160 juta itu melibatkan kerja perobohan dan pembinaan bangunan bagi cadangan pembangunan di Lot 86342 dan Lot PT 44017, Jalan Damansara, Damansara Perdana, Mukim Sungai Buloh, Daerah Petaling, Selangor.

 

Projek membabitkan 560 unit pejabat

Pembangunan berkenaan merangkumi empat tingkat pejabat dengan 560 unit di tingkat tiga hingga lima, selain satu tingkat kemudahan di tingkat 5A.

 

Skop projek turut merangkumi kawasan perkhidmatan di aras bawah tanah satu dan dua serta lif dan ruang legar lif dari aras bawah hingga tingkat tiga bagi Zon 1.

 

Binastra menjelaskan bahawa penamatan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengakuan liabiliti atau kegagalan kontrak oleh mana-mana pihak.

 

Kedua-dua pihak juga tidak berhak mengenakan atau menuntut ganti rugi kelewatan yang ditetapkan (Liquidated Damages) semata-mata disebabkan atau berkaitan penamatan secara persetujuan bersama itu.

 

Binastra sudah keluarkan bil kemajuan RM23.82 juta

Berikutan penamatan berkuat kuasa pada 23 November 2026, BBSB perlu menghentikan semua kerja serta-merta dan melaksanakan tanggungjawab serta obligasi seperti yang dinyatakan dalam surat penamatan.

 

Dynamicz pula akan mengatur penilaian terhadap kerja yang telah dilaksanakan oleh BBSB sehingga tarikh penamatan berkenaan.

 

Binastra berkata, setakat tarikh itu, BBSB sudah mengeluarkan bil kemajuan berjumlah RM23.82 juta bagi kontrak berkenaan.

 

Penilaian akhir kerja, penyelesaian sebarang bayaran tertunggak, pemulangan wang (retention monies) serta baki obligasi kontrak akan ditentukan selepas akaun akhir dimuktamadkan dan dipersetujui mengikut terma kontrak.

 

Tiada kesan material terhadap prestasi kewangan

Sementara itu, Binastra menjelaskan pembatalan kontrak berkenaan tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan syarikat.

 

Penamatan itu juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap keuntungan dan pendapatan sesaham, nisbah gearing, aset bersih serta aset bersih sesaham kumpulan.

 

Bagaimanapun, kumpulan akan kehilangan baki nilai buku tempahan yang dikaitkan dengan kontrak berkenaan susulan penamatan tersebut. Lembaga pengarah Binastra berpandangan bahawa keputusan menamatkan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved