Bintai Kinden raih projek pembangunan GDV RM296 juta di Ayer Keroh, Melaka

19 Aug 2026 • 6:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bintai Kinden raih projek pembangunan GDV RM296 juta di Ayer Keroh, Melaka Image from: Bintai Kinden raih projek pembangunan GDV RM296 juta di Ayer Keroh, Melaka hamden19/08/2026 - 18:07 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bintai Kinden Corporation Bhd (Bintai Kinden) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd (KBK), menerima Surat Anugerah daripada PLUS Malaysia Bhd bagi pembangunan dua bidang tanah seluas kira-kira 103 ekar di Ayer Keroh, Melaka, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM296.54 juta.

 

Tanah berkenaan terletak di luar kawasan rizab lebuh raya PLUS dan diperuntukkan untuk pembangunan bercampur membabitkan komponen kediaman dan komersial.

 

KBK akan mengetuai pembangunan tersebut termasuk kerja-kerja pembinaan, tertakluk kepada kelulusan kawal selia yang diperlukan.

 

Pengurusan Bintai Kinden berkata projek berkenaan dijangka memperluaskan kehadiran kumpulan dalam pasaran hartanah Melaka, selain mewujudkan aliran pendapatan baharu dan mampan.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BKCB, Datuk Tay Chor Han, berkata anugerah itu mencerminkan keyakinan terhadap rekod prestasi kumpulan dalam melaksanakan projek kejuruteraan dan pembinaan kompleks.

 

Menurutnya, lokasi projek dalam koridor pertumbuhan strategik berhampiran Restoran Jejambat Ayer Keroh turut memberikan nilai tambah kepada pembangunan tersebut.

 

Pada masa sama, kemenangan projek itu hadir ketika Bintai Kinden mencatat permulaan kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Bagi 1QFY27 berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan melonjak 77.97% tahun ke tahun kepada RM13.52 juta, berbanding RM7.59 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan hasil itu didorong terutamanya oleh kemajuan kerja dan tuntutan kemajuan lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (M&E), khususnya subsegmen pembinaan.

 

Prestasi tersebut membolehkan kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.51 juta, berbanding kerugian sebelum cukai RM3.93 juta setahun sebelumnya.

 

Pemulihan itu turut disokong kos kewangan lebih rendah susulan pengurangan pinjaman serta ketiadaan perbelanjaan opsyen saham yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

 

Bintai Kinden menegaskan pembangunan hartanah itu merupakan peluasan pelengkap dan bukan perubahan strategi kumpulan, dengan perniagaan teras kekal dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), khususnya projek M&E berkaitan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Projek Ayer Keroh itu dijangka menyumbang positif kepada pendapatan kumpulan mulai FY2029, sekali gus menambah saluran projek jangka sederhana Bintai Kinden.

 

Setakat 30 Jun 2026, buku tempahan kumpulan masing-masing berjumlah RM61.69 juta bagi M&E dan RM119.60 juta bagi pembinaan, manakala bidaan bernilai RM2.08 bilion sedang dalam penilaian dan menunggu keputusan pihak penganugerah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved