Boleh double park tapi otak jangan tinggal dalam kereta

Opinion
1 Apr 2026 • 7:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Orang ramai dinasihatkan supaya berfikit terlebih dahulu sebelum melakukan double park. - Gambar hiasan.

MERAK Jalanan sakit hati dan simpati selepas membaca kisah seorang wanita terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana gagal mengawal emosi selepas kenderaannya dihalang dalam tempoh yang lama.

Bayangkan situasi itu. Bukan lima atau sepuluh minit tetapi hampir dua jam kena sidai dek kerana sebuah kereta lain yang diparkir secara bertindih atau double park.

Tidak dapat menahan marah, wanita itu menggunakan besi kecil untuk memukul beberapa bahagian kereta yang menghalang laluan keluarnya.

Memang bertindak kasar bukan cara yang wajar. Wanita itu akhirnya mengakui kesilapan, membuat permohonan maaf dan bersetuju menanggung kos kerosakan kenderaan. Itu tindakan yang perlu dihormati.

Tapi jangan salahkan sepenuhnya wanita itu. Punca sebenar adalah budaya double park. Tinggalkan kereta sesuka hati sementara orang lain terpaksa menunggu tanpa kepastian. Inilah yang mencetuskan rasa marah.

Dalam situasi menimpa wanita ini, pihak yang meletakkan kereta secara double park seolah-olah terlepas begitu sahaja kerana dikenali atau ada nama. Realitinya, sama ada kita orang biasa atau dikenali, peraturan tetap sama. Jalan awam bukan milik peribadi.

Merak Jalanan percaya selagi sikap ini dianggap biasa, selagi itu kejadian serupa akan berulang. Hari ini hanya hon dan marah, esok mungkin lebih buruk.

Petuanya mudah, kalau tak jumpa parkir, cari tempat lain. Jangan menyusahkan orang demi keselesaan sendiri.

Sebelum buat double park, fikir dulu. Jangan sampai orang lain kena sidai, emosi pula meletup. Tinggalkanlah nombor yang boleh dihubungi dan dan paling penting... otak, jangan sesekali tinggal dalam kereta!