Buru udang galah, gelama di Kampung Pulau Pisang

27 Aug 2026 • 10:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Buru udang galah, gelama di Kampung  Pulau Pisang

Kali ini, kami memilih lokasi memancing di Kampung Pulau Pisang yang terletak di dalam mukim Badang, Kota Bharu, Kelantan untuk memancing udang galah.

Di bahagian sini, Sungai Kelantan masih dipengaruhi pasang surut air kerana jaraknya dari kuala lebih kurang dua kilometer sahaja.

Umpan udang beras digunakan kerana ia diketahui digemari udang galah di sini. Sebaik sahaja peralatan pancing siap dipasang, kami terus melabuhkan umpan ke dalam sungai.

Saat-saat sebegini memang menguji kesabaran. Mata tidak lepas melihat hujung joran, manakala tangan pula sentiasa bersedia untuk mencapai joran sekiranya ada tanda-tanda umpan disentuh.

Tidak lama kemudian, hujung joran saya mula bergetar dan tiba-tiba menunduk memberi tanda mata kail sudah tercangkuk rahang udang galah.

Apabila terasa berat, saya terus mengarau perlahan tali masuk ke dalam gelendung kekili dan akhirnya muncul seekor udang galah saiz kasar.

Jika seekor sudah dinaikkan, pasti ada harapan untuk beberapa ekor lagi menyusul. Namun, ia tidak semudah yang disangkakan.

Umpan kami sentiasa sahaja dikutis dan ia habis licin begitu sahaja. Berke­mungkinan besar ikan-ikan kecil dan udang galah saiz baby turut mengerumuni umpan dilabuhkan.

Orang lama
Ketika kami sedang leka melayan suasana yang tepu itu, tiba-tiba datang seorang pemancing veteran yang lebih mesra dipanggil Cik Malik.

Pada mulanya, kami ingat dia mahu memancing udang galah, rupa-rupanya dia hanya mahu pancing ikan gelama.

Umpan yang digunakannya pula cukup ringkas, iaitu cacing tanah. Namun menurutnya, kerap juga ikan duri atau belukang mencuri umpannya.

Image from: Buru udang galah, gelama di Kampung  Pulau Pisang
Izyan bersama udang galah pertama dipancingnya.

Tidak lama selepas umpan cacing tanah dilabuhkan, hujung jorannya mula bergetar, terus Cik Malik menyembatnya.

Perhatian kami semua tertumpu pada hujung tali pancingnya untuk mengetahui apa gerangan yang mengambil umpannya. Selepas beberapa kali karauan, muncul seekor ikan gelama.

Naiknya ikan gelama itu melengkapkan cerita di lubuk Kampung Pulau Pisang ini, di mana udang galah dan ikan gelama dapat dipan­cing pada tempat dan masa sama.

Jadi untuk trip selanjutnya, kami akan cuba memancing dua spesies ini pula secara serentak.

Namun cerita belum berakhir, ketika kami asyik memerhatikan gelagat Cik Malik memancing ikan gelama, tiba-tiba Izyan pula kelam-kabut mengarau jorannya.

Riak wajahnya jelas menunjukkan ada sesuatu sedang melawan di hujung tali pancingnya. Akhirnya, muncul sepit udang galah ‘remaja’ di permukaan air. Cepat-cepat suaminya datang membantu menaikkan udang galah tersebut.

Begitulah uniknya pengalaman memancing di Kampung Pulau Pisang. Kita mungkin datang dengan sasaran tertentu, tetapi sungainya mempunyai cerita sendiri.

Umpan yang sama boleh mengundang pelbagai penghuni.

Apakah yang akan menyambut umpan, udang galah, gelama, belukang, duri atau ikan pengacau lain?

Bagi kaki pancing, apa-apa spesies sekalipun, tetap menghiburkan hari pancingannya.

Jika bersaiz hidangan, pasti dapat dibawa pulang sebagai lauk sekeluarga.

The post Buru udang galah, gelama di Kampung Pulau Pisang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved