SHAH ALAM - Cadangan menjadikan Pahang sebagai lokasi tapak pelancar roket pertama di Malaysia dan Asia Tenggara sedang diperhalusi kerajaan Persekutuan dari sudut keselamatan, model perniagaan dan risiko projek itu sendiri.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, penelitian menyeluruh itu penting bagi memastikan projek baharu berkenaan dapat dilaksanakan dengan mengambil kira semua aspek keselamatan dan operasi.
"Hakikatnya, ia benda baharu. Jadi, kerajaan Persekutuan memerlukan masa untuk mengkaji dan menilai dari segi aspek keselamatan, model perniagaan dan risiko-risiko yang mungkin berlaku.
"Mereka perlu melihat bagaimana faktor keselamatan boleh dimitigasi dan risiko-risiko tersebut dapat dibendung," katanya pada sidang media selepas Program Town Hall Rakyat Sinar Harian yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, kajian berkenaan merupakan langkah penting bagi memastikan pembangunan tapak pelancar roket itu dapat direalisasikan dengan mengambil kira kepentingan keselamatan awam serta sektor lain.
Menurutnya, ketiadaan kemudahan seumpama itu di Asia Tenggara menjadikan projek berkenaan sesuatu yang baharu dan memerlukan penelitian dari pelbagai sudut.
"Di Asia Tenggara tak ada satu pun (tapak pelancar roket), mungkin sebab itulah mereka perlukan sedikit masa lagi untuk membuat keputusan.
"Ada banyak implikasi sebenarnya dengan adanya tapak pelancar roket itu, bukan sahaja dari segi komersial tetapi mereka perlu lihat segala aspek," ujarnya.
Beliau berkata, antara aspek yang perlu diteliti termasuk laluan udara dan maritim bagi memastikan aktiviti pelancaran roket tidak menjejaskan operasi penerbangan serta perkapalan.
Katanya, faktor keselamatan penduduk turut diberi perhatian dalam penilaian berkenaan, termasuk mengambil kira keadaan sekitar lokasi yang dicadangkan.
Terdahulu, dalam program berkenaan, Mohamad Nizar berkata, terdapat pelabur yang berminat untuk menjadikan Pahang sebagai tapak pelancar roket.
Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi satelit menyaksikan permintaan terhadap kemudahan pelancaran semakin meningkat, dengan anggaran antara 30,000 hingga 50,000 satelit akan dihantar ke ruang angkasa dalam tempoh terdekat.
Katanya, satelit kini digunakan untuk pelbagai tujuan, termasuk sistem navigasi, kajian saintifik, pemantauan hutan serta menyediakan capaian internet di kawasan pedalaman yang sukar dihubungkan menggunakan kabel gentian optik.
"Syarikat SpaceX contohnya menerusi projek Starlink mahu memancarkan isyarat internet ke kawasan hutan atau gunung yang susah nak masuk dengan kabel gentian optik.
"Mereka yang berada di kawasan perhutanan atau pedalaman boleh menikmati isyarat internet dengan adanya Starlink. Semua ini memerlukan satelit yang beroperasi di angkasa raya," kata beliau.
Mohamad Nizar berkata, pertambahan jumlah satelit itu turut membuka ruang kepada Pahang untuk mengambil bahagian dalam industri pelancaran roket, terutama apabila jumlah tapak pelancar di seluruh dunia ketika ini masih terhad.
"Masalahnya tapak pelancar roket hanya 29 hingga 30 di dunia. Tak cukup sebenarnya. Sekiranya kita mendapat lampu hijau dan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan, kita akan ada tapak pelancar roket pertama di Pahang, Malaysia dan Asia Tenggara. Doa-doakanlah,” ujarnya lagi.






