SHAH ALAM - Rakyat Pahang bukan sahaja menikmati tahap kebahagiaan yang tinggi, malah negeri itu turut berusaha memperkukuh ekonomi dengan menyasarkan peningkatan nilai ekonomi kepada RM100 bilion menjelang 2030.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, Pahang berada pada kedudukan nombor satu dari segi indeks kebahagiaan.
Beliau berkata, aspek kebahagiaan rakyat itu merupakan antara perkara positif yang dimiliki Pahang selain keadaan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin yang rendah.
"Dari segi indeks kebahagiaan kita nombor satu. Dan kita ada ukuran ekonomi, dia panggil 'Gini Coefficient'. Dia mengukur jurang antara miskin dan kaya.
"Di Pahang, kita punya 'Gini Coeffecient' paling rendah, bermakna jurang orang kaya dengan miskin itu paling rendah antara negeri-negeri lain, " katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.
Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, keadaan itu merupakan antara perkembangan positif yang dicapai Pahang dari aspek kesejahteraan rakyat.
Katanya, terdapat pandangan yang menganggap rakyat Pahang mudah berpuas hati atau reda dengan keadaan sedia ada.
"Tak tahu. Mudah puas hati, kita reda. Mungkin bantuan yang diberikan oleh kerajaan tepat pada sasaran hingga jurang tidak berapa tinggi," ujarnya lagi.
Mohamad Nizar menambah, Pahang juga menjuarai Indeks Perpaduan di Malaysia, sekali gus kehidupan masyarakat harmoni di negeri tersebut.
Bagaimanapun, katanya, keadaan berkenaan tidak bermakna kerajaan negeri boleh berpuas hati sebaliknya usaha meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan rakyat perlu terus diperkasakan.
Menurut Mohamad Nizar, antara sasaran utama menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Negeri Pahang sehingga 2030 adalah meningkatkan nilai ekonomi negeri daripada RM71 bilion kepada RM100 bilion.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyasarkan peningkatan gaji median Pahang daripada RM2,300 ketika ini kepada RM3,300.
"Kita nak tingkatkan gaji median negeri Pahang. Sekarang ini gaji median, gaji pertengahan keluarga Pahang adalah RM2,300.
"Kita nak lonjakkan ke RM3,300, sama paras dengan Kuala Lumpur ataupun negeri-negeri yang lebih maju dalam aspek ini," tambahnya.
Menurutnya, ketika ini hanya sekitar 21 peratus tenaga kerja di Pahang boleh disifatkan sebagai berkemahiran tinggi.
Justeru, beliau berkata, angka itu perlu ditingkatkan bagi memastikan negeri berupaya menyediakan tenaga kerja yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi dan pelaburan pada masa depan.






