Pahang sasar 'Satu Daerah, Satu Pusat STEM' perkasa bakat muda Pahang

LocalTechnology
21 Aug 2026 • 10:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang sasar 'Satu Daerah, Satu Pusat STEM' perkasa bakat muda Pahang
Mohamad Nizar (kiri) pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan Fikry di Karangkraf pada Jumaat. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM – Kerajaan Pahang mempergiat usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan memperluas akses kepada kemudahan inovasi serta memberi tumpuan kepada pelajar khususnya di kawasan luar bandar.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai pelajar mempunyai kemahiran yang selari dengan keperluan industri masa hadapan.

Menurutnya, antara inisiatif yang dirangka ialah konsep ‘Satu Daerah, Satu Pusat STEM’ bagi menyediakan ruang kepada pelajar dan masyarakat untuk bereksperimen, mencipta serta mengembangkan idea dalam bidang sains dan teknologi.

"Kita berharap setiap daerah di Pahang, ada pusat STEM yang dilengkapi pelbagai peralatan seperti pencetak 3D, green screen, laser cutter dan kemudahan lain yang membolehkan orang ramai bereksperimen serta berinovasi.

“Matlamat kita adalah untuk merakyatkan budaya sains, teknologi dan inovasi,” katanya pada Program Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika ini beberapa kemudahan berkaitan STEM dan inovasi telah diwujudkan termasuk Petrosains di Kuantan, pusat reka cipta Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Temerloh dan Bera serta kemudahan Makers Hub di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri melihat keperluan untuk memperluas kemudahan berkenaan ke daerah lain termasuk Kuala Lipis dan Raub supaya peluang pendidikan serta inovasi tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar berkata, penguasaan Matematik turut menjadi keutamaan kerana subjek berkenaan merupakan asas penting untuk pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang STEM.

"Suka atau tidak, kalau hendak mengambil jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, kita perlu menguasai Matematik.

"Kalau semua pelajar di Pahang lulus Matematik, Insya-ALLAH, kita akan mempunyai lebih ramai saintis, jurutera, ahli biologi, ahli fizik dan pakar kecerdasan buatan (AI),” ujarnya lagi.

Justeru, katanya, intervensi perlu dimulakan seawal peringkat sekolah rendah dengan memberi bimbingan dan sokongan tambahan kepada murid yang lemah dalam Matematik.

Beliau berkata, perhatian tidak seharusnya hanya diberikan kepada pelajar di sekolah berprestasi tinggi, sebaliknya turut meliputi golongan yang tercicir serta murid di sekolah luar bandar.

“Kita perlu tumpukan kepada pelajar yang lemah. Pelajar yang keciciran dan sekolah di luar bandar di Pahang juga perlu dibantu.

“Kalau kita ada intervensi yang positif daripada semua pihak termasuk kerajaan, kita mungkin dapat memperkukuhkan lagi kedudukan pendidikan STEM di negeri ini,” katanya.

Selain Matematik, Mohamad Nizar berkata, bidang robotik turut memperlihatkan potensi besar dalam kalangan pelajar Pahang apabila mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau mengambil contoh kejayaan sebuah sekolah luar bandar yang berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan robotik di Korea Selatan, sekali gus membuktikan bahawa kekangan lokasi bukan penghalang untuk pelajar mencipta kejayaan.

Menurutnya, kejayaan pelajar terbabit tidak dicapai secara bersendirian, sebaliknya hasil sokongan berterusan daripada guru, ibu bapa, kerajaan negeri, Petrosains dan UMPSA.

“Cerita-cerita seperti ini kita mahu perbanyakkan supaya dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain bahawa mereka juga mampu berjaya dalam bidang STEM.

“Guru memainkan peranan besar, termasuk sanggup mengorbankan masa untuk membimbing pelajar, manakala ibu bapa pula terus memberikan sokongan moral walaupun berdepan kekangan kewangan,” tambahnya lagi.

Beliau memaklumkan, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, industri, guru dan ibu bapa perlu terus diperkukuh bagi membina ekosistem STEM yang lebih menyeluruh dan mampu melahirkan bakat tempatan untuk memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved