
PETALING JAYA: Skuad hoki negara berjaya memastikan satu mata berharga menjadi milik mereka selepas mengikat Afrika Selatan 3-3 dalam aksi klasifikasi Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Wavre, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Arena Hoki Belfius itu menyaksikan Malaysia bermula garang apabila Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan pasukan di depan menerusi gol padang pada minit ke-14.
Bagaimanapun, Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan hasil gol padang Luke Wynford tiga minit kemudian.
Azrai sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22 untuk memberikan Malaysia kelebihan 2-1.
Namun, Afrika Selatan bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Nicholas Spooner pada minit ke-28 sebelum Mustaphaa Cassiem meletakkan mereka di depan pada minit ke-43.
Malaysia enggan mengalah dan terus meningkatkan tekanan sebelum usaha mereka membuahkan hasil apabila Faizal Saari meledak gol penyamaan pada minit ke-60 untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Skuad kendalian Brendon Carolan itu perlu menunggu keputusan Perancis bertemu Ireland dan jika Perancis kalah Malaysia akan bermain dalam penentuan tempat ke-13.
Jika Perancis menang, Malaysia akan bermain di penentuan tempat ke-15. – UTUSAN
The post Malaysia raih satu mata berharga appeared first on Utusan Malaysia.






