Catatan peribadi terbaik iringi pingat perak Daniel Haqiem

17 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Catatan peribadi terbaik iringi pingat perak Daniel Haqiem

SERDANG, 17 OGOS: Kem olahraga Selangor kembali ceria pada sebelah petang hari kedua selepas pelari Muhammad Daniel Haqiem menghadiahkan pingat perak dalam acara 400 meter lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Beraksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Haqiem mempamerkan larian bertenaga untuk menamatkan saingan dengan catatan 47.61 saat, sekali gus memperbaharui rekod peribadi terbaik yang dilakarnya pada peringkat separuh akhir sebelah pagi.

Pingat emas menjadi milik pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin, manakala rakan senegerinya, Muhammad Farhan, meraih gangsa.

Haqiem, 21, berkata kejayaan tersebut cukup bermakna kerana menjadi hasil daripada kerja keras dan latihan berterusan yang dilaluinya sebelum temasya.

“Syukur dengan kejayaan ini dan saya rasakan ini adalah hasil kerja keras saya tanpa henti selama ini.

“Saya tidak berhenti berlatih dan akhirnya saya berjaya sumbangkan pingat perak buat Selangor,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas perlumbaan.

Menurutnya, keadaan cuaca panas serta tiupan angin di Stadium UPM menjadi antara cabaran utama sepanjang perlumbaan, namun perkara itu tidak menghalangnya daripada memberikan aksi terbaik.

“Kalau beraksi di UPM ini, angin sentiasa menjadi cabaran tetapi saya tidak kisah dan teruskan larian sehingga tamat,” katanya.

Pingat perak yang diraih Haqiem itu menyumbang kepada kutipan pingat kem olahraga Selangor yang kini mengumpul empat pingat selepas meraih satu emas dan dua perak pada hari pertama pertandingan.

Kejayaan tersebut turut menyemarakkan semangat kontinjen Selangor untuk terus menambah kutipan pingat dalam baki saingan olahraga SUKMA 2026.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved