amree07/08/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – XL Holdings Berhad membuka lembaran baharu dalam strategi pertumbuhannya apabila pemegang saham sebulat suara meluluskan cadangan syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan.
Langkah itu dicapai selepas mereka menyokong usaha kumpulan menceburi sektor peruncitan dan pemborongan barangan runcit, serta mewujudkan sumber pendapatan baharu di luar operasi sedia ada.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, resolusi tersebut diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) berlangsung pada 6 Ogos 2026 di Balai Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
"Cadangan berkenaan melibatkan kepelbagaian perniagaan sedia ada XL Holdings dan anak-anak syarikatnya dengan merangkumi aktiviti peruncitan serta pemborongan barangan runcit," katanya.
Keputusan tersebut jelasnya, memperoleh sokongan sebukat suara apabila kesemua 70 pemegang saham yang hadir dan mengundi menyokong resolusi biasa tunggal berkenaan tanpa sebarang bantahan.
Mereka mewakili sebanyak 144.76 juta saham atau 100% daripada jumlah saham yang meluluskan cadangan berkenaan, sekali gus membolehkan satu-satunya usul dibentangkan itu diterima secara rasmi.

Keputusan pengundian dilaksanakan secara pungutan, manakala proses pengesahan disemak oleh firma pemeriksa bebas, Commercial Quest Sdn Bhd yang dilantik oleh pengurusan XL Holdings sendiri.
Walaupun syarikat tidak memperincikan pelan pelaksanaan atau sasaran kewangan bagi segmen baharu itu, kelulusan usul tersebut memberi fleksibiliti kepada pengurusan meneroka peluang perniagaan tambahan.
Terdahulu, kumpulan itu melalui anak syarikatnya, XL Retail Sdn Bhd, menyelesaikan pengambilalihan aset perniagaan Jutaria Gemilang Sdn Bhd bernilai RM15 juta bagi mengendalikan cawangan Giant Mini.
Pengumuman tersebut dibuat selepas XL Holdings pada 2 Julai 2026 melaporkan peningkatan prestasi kewangan dengan meraih pendapatan sebanyak RM35.39 juta bagi suku keempat berakhir 30 April 2026.
Ia mencatatkan lonjakan signifikan sebanyak 97.41% berbanding RM17.93 juta pada tempoh sama tahun lalu, didorong kos operasi yang rendah serta peningkatan dalam jumlah jualan sepanjang suku itu
Kumpulan berkenaan turut melaporkan keuntungan bersih meningkat kepada RM3.56 juta bagi tiga bulan itu, daripada RM2.62 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025. - DagangNews.com






