
PETALING JAYA – Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Lovely Sabana Augustine yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menerima pelepasan khas berkaitan yuran daripada universiti berkenaan.
Pelepasan itu diperoleh selepas Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menghubungi Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff bagi membantu pelajar keturunan Kadazan-Siam dari Tumpat, Kelantan itu.
Beliau memaklumkan, Mara melalui Yayasan Pelajaran juga menghulurkan bantuan sebanyak RM1,000 sebagai wang persiapannya ke UPSI.
“Adik Lovely datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Ibunya bekerja sebagai tukang cuci sekolah dan bekerja sambilan sebagai anggota Rela menjaga masjid di hari Jumaat dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.
“Saya juga turut menghulurkan sedikit sumbangan peribadi. Apa yang lebih membanggakan, beliau mendapat pointer 4.0 dalam STPM walaupun hidup dalam serba kekurangan,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Menerusi hantaran berkenaan, Asyraf Wajdi turut berkongsikan rakaman video perbualannya dengan Lovely Sabana menerusi panggilan telefon.
Beliau turut mengharapkan supaya bantuan berkenaan menjadi pembuka jalan untuk Lovely Sabana mengejar cita-cita sebagai pendidik, sekali gus mengubah kehidupan keluarganya kelak.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pelajar cemerlang yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke UPSI itu, berterima kasih kepada semua pihak kerana sanggup menyumbang komputer riba dan bantuan kewangan.
Malah, permohonan bantuan Lovely Sabana turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir.- KOSMO! ONLINE
The post Daddy Mara tidak ketinggalan bantu Lovely Sabana appeared first on Kosmo Digital.






