Data seismik 3D kurangkan risiko geologi Dialog bangunkan medan minyak - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Data seismik 3D kurangkan risiko geologi Dialog bangunkan medan minyak - MBSB Research Image from: Data seismik 3D kurangkan risiko geologi Dialog bangunkan medan minyak - MBSB Research amree11/09/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept — Penerimaan data seismik 3D bagi Kluster Mutiara dijangka mengurangkan risiko geologi dan membantu Dialog Group Berhad mengoptimumkan lokasi penggerudian serta menganggarkan rizab dengan lebih tepat sebelum membuat komitmen modal pembangunan yang besar.

 

MBSB Research berkata, projek itu juga sejajar dengan pelan pembangunan peringkat negeri di Sabah Timur bagi memperkukuh infrastruktur tenaga tempatan, menstabilkan bekalan gas dan menyokong permintaan tenaga industri.

 

Menurut firma penyelidikan tersebut, penerimaan data seismik dengan resolusi tinggi berkenaan turut membantu mengurangkan kos penerokaan pada peringkat awal dan memendekkan kitaran penilaian.

 

Keadaan itu membolehkan Dialog mengoptimumkan pelan pembangunan medan serta memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan Tarikh Gas Pertama (FGD), yang disasarkan pada 2029.

 

“Pengimejan seismik 3D beresolusi tinggi dijangka mengurangkan risiko geologi, seterusnya membolehkan Dialog mengoptimumkan lokasi penggerudian dan menganggarkan rizab dengan lebih tepat sebelum komited kepada modal pembangunan yang besar,” kata MBSB Research.

 

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa pembangunan medan marginal lazimnya berdepan risiko kebocoran, kadar aliran yang menurun dengan pantas serta takungan yang berpetak atau kompleks.

 

Sekiranya rizab sebenar lebih rendah berbanding unjuran model seismik, pulangan projek berpotensi lebih rendah daripada yang diunjurkan.

 

Dialog_DagangNews2026

 

Selain itu, usaha mempercepatkan FGD berpotensi menyebabkan kesesakan dalam rantaian bekalan, peningkatan kadar sewaan harian kapal luar pesisir dan kelewatan projek, terutama berikutan ketidaktentuan geopolitik yang mempengaruhi pasaran minyak dan gas (O&G).

 

MBSB Research berkata, pembangunan medan kecil turut beroperasi dengan margin keuntungan yang ketat, menjadikan daya maju ekonomi projek penggerudian sensitif terhadap turun naik ketara harga minyak mentah dan gas asli global.

 

Kluster Mutiara kini berada dalam fasa prapembangunan selama dua tahun, justeru perkembangan terbaharu itu tidak memberi kesan kewangan kepada Dialog dalam jangka pendek.

 

Bagaimanapun, sekiranya pengeluaran bermula sekitar 2029 dan mencapai fasa pengeluaran penuh yang berjaya, penganalisis menjangkakan peningkatan kira-kira 13%-15% dalam hasil Dialog serta peningkatan 3%-5% dalam margin keuntungan bersih.

 

Anggaran itu berdasarkan andaian kadar pengeluaran purata sebanyak 5,000 tong setara minyak sehari (boepd), dengan medan marginal lazimnya menghasilkan antara 3,000 hingga 8,000 boepd, pada harga purata minyak mentah Brent sebanyak AS$75 setong.

 

“Pada ketika ini, kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan Dialog. Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.57,” kata MBSB Research. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved