Risiko geologi jadi cabaran Dialog bangunkan medan minyak Kluster Mutiara - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Risiko geologi jadi cabaran Dialog bangunkan medan minyak Kluster Mutiara - MBSB Research Image from: Risiko geologi jadi cabaran Dialog bangunkan medan minyak Kluster Mutiara - MBSB Research amree11/09/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept — Risiko geologi kompleks menjadi antara cabaran utama Dialog Group Berhad dalam membangunkan medan minyak Kluster Mutiara di luar pesisir Sabah, menurut MBSB Research.

 

Kumpulan itu ujar firma penyelidikan tersebut, perlu membuat komitmen modal pembangunan yang besar meskipun pemerolehan data seismik tiga dimensi (3D) baharu dijangka membantu mengurangkan risiko. 

 

Subsidiarinya, Dialog Resources Sdn Bhd (DRSB), yang dianugerahkan kluster itu jelasnya, menerima data seismik yang dipertingkatkan daripada Malaysia Petroleum Management (MPM) dan PETRONAS.

 

"Data beresolusi tinggi ini dijangka membolehkan Dialog mengenal pasti lokasi penggerudian secara tepat serta menganggarkan rizab sebelum keputusan pembangunan utama dibuat," kata MBSB Research.

 

Pada masa sama, penerimaan data terkini berkenaan dapat mengurangkan kos eksplorasi peringkat awal dan memendekkan tempoh penilaian projek sejajar dengan pelan pembangunan di wilayah Sabah Timur.

 

Namun, firma itu mengingatkan medan marginal seperti Kluster Mutiara kelazimannya berdepan isu kebocoran, kadar aliran yang merosot dengan pantas serta takungan yang kompleks dan berpetak.

 

Justeru jelas MBSB Research, sekiranya rizab sebenar lebih rendah daripada anggaran berdasarkan model seismik, pulangan projek ke atas hasil Dialog berpotensi lebih rendah daripada jangkaan.

 

Dialog_DagangNews2026

 

"Selain itu, sasaran tarikh gas pertama (FGD) dipercepatkan kepada 2029 boleh mendedahkan kepada risiko kekangan rantaian bekalan, kenaikan kadar sewaan kapal dan kelewatan projek," tambahnya.

 

Perkembangan semasa tersebut amat kritikal, khususnya dalam persekitaran geopolitik yang tidak menentu dan dikhuatiri boleh memberi kesan kepada pasaran minyak dan gas (O&G) di seluruh dunia.

 

MBSB Research turut menilai, pembangunan medan yang kecil membawa margin rendah, menyebabkan daya maju ekonomi projek Dialog itu sensitif terhadap perubahan ketara harga minyak mentah global.

 

Bagaimanapun Kluster Mutiara berada dalam tempoh prapembangunan selama dua tahun dan tempoh itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kewangan kepada kumpulan tersebut dalam jangka pendek.

 

"Sebaliknya, sumbangan kepada pendapatan dijangka hanya dapat dilihat apabila pengeluaran bermula 2029. dengan anggaran pengeluaran penuh sekitar 5,000 tong setara minyak sehari (boepd)," katanya.

 

Berdasarkan unjuran itu, MBSB Research mengunjurkan kluster tersebut berpotensi meningkatkan hasil Dialog sekitar 13% hingga 15% serta margin keuntungan bersih mencecah sebanyak 3% hingga 5%.

 

Firma penyelidikan berkenaan namun tidak mengubah anggaran pendapatan kumpulan tersebut buat masa ini dan mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) masih RM2.57.

 

Perkembangan pembangunan Kluster Mutiara menjadi antara pemangkin jangka panjang, walaupun risiko rizab, kos pembangunan, harga komoditi dan kelewatan projek perlu terus dipantau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved