Perkembangan mengenai seekor gajah jantan dikenali sebagai Sulong terus menjadi perhatian orang ramai selepas haiwan berkenaan dilihat bergerak di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Sejak pagi tadi, ramai pengguna media sosial mula mempersoalkan lokasi terkini Sulong selain meluahkan kebimbangan terhadap keadaan kaki hadapan kanannya yang dilaporkan mengalami kecederaan.
Advertisement
Antara persoalan yang dikongsikan netizen termasuk sama ada Sulong masih mengalami kesakitan dan sejauh mana haiwan berkenaan telah bergerak.
“Sesiapa ada perkembangan terbaharu Sulong? Sampai mana dah dia? Sakit lagi ke kaki dia?” soal @Ihvelyn.
Seorang lagi pengguna, Ayra, turut berharap keselamatan Sulong sentiasa terpelihara.
“Gajah Sulong ada kat mana dah? Tengok media sosial pagi ini tak jumpa lagi sebarang perkembangan pasal Sulong. Allah ya Allah, lindungi Sulong kami,” komen Ayra.
Tidak kurang juga yang bersimpati melihat keadaan Sulong, khususnya selepas rakaman sebelum ini menunjukkan kecederaan pada kaki hadapannya.

“Selamat pagi. Ada perkembangan terbaharu Sulong? Sedihnya baca dengan kaki cedera. Makan ke tak,” tulis Nurul Nadzri.
Sulong Masih Berada Di Laluan Gerik-Jeli
Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian pengguna TikTok dikenali sebagai Basir Bahrin, Sulong dilihat masih berada di sekitar laluan Gerik-Jeli setakat 6.14 petang semalam.
Dalam video tersebut, gajah berkenaan dirakam berhenti untuk minum air sebelum meneruskan pergerakannya.
Sebelum ini, Sulong mencuri perhatian selepas beberapa video tular memaparkan haiwan itu berjalan di sepanjang JRTB ketika dipercayai bergerak menuju ke arah Jeli dan Gua Musang.
Keadaan kaki hadapan kanannya yang cedera turut menyebabkan ramai pengguna jalan raya dan pencinta haiwan meluahkan rasa simpati.
Perhilitan Pantau Keadaan Sulong
Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum ini memaklumkan bahawa Sulong masih mampu makan dan bergerak dengan baik.
Pihak berkenaan turut mengambil tindakan menggiring Sulong kembali ke kawasan hutan serta menjalankan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya.
“Namun, haiwan itu didapati masih kembali ke kawasan jalan raya menyebabkan pemantauan serta tindakan menggiring akan diteruskan dua kali sehari, masing-masing pada waktu siang dan malam,” katanya.
Perkembangan mengenai Sulong terus dinantikan orang ramai yang berharap gajah berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan yang lebih serius.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Takkan Nak 'Expect' Saya Ketuk Pintu Rumah Dia" - Khairul Aming Jawab Dakwaan Tak Peduli Isu 'Scalper'
The post “Di Mana Sulong Pagi Ni?” – Netizen Risau Nasib Gajah Cedera Di Laluan Gerik-Jeli first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.






