‘Sulong dah sampai mana pagi ni?’

26 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Sulong dah sampai mana pagi ni?’

PETALING JAYA – ‘Di mana Sulong pagi ni?’

Itu antara persoalan yang memenuhi media sosial apabila orang ramai terus mengikuti perkembangan seekor gajah jantan dikenali sebagai Sulong yang menjadi perhatian sejak beberapa hari lalu ketika bergerak di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna mula bertanyakan lokasi terkini Sulong sejak pagi ini, selain bimbang mengenai keadaan kecederaan pada kaki hadapan kanannya.

“Sesiapa ada perkembangan terbaharu Sulong? Sampai mana dah dia? Sakit lagi ke kaki dia?” soal @Ihvelyn.

“Gajah Sulong ada kat mana dah? Tengok media sosial pagi ini tak jumpa lagi sebarang perkembangan pasal Sulong. Allah ya Allah, lindungi Sulong kami,” komen Ayra.

Tidak kurang juga yang meluahkan rasa sedih selepas melihat keadaan gajah tersebut sebelum ini.

“Selamat pagi. Ada perkembangan terbaharu Sulong? Sedihnya baca dengan kaki cedera. Makan ke tak,” tulis Nurul Nadzri.

Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Basir Bahrin, Sulong dilihat masih berada di sekitar laluan Gerik-Jeli setakat pukul 6.14 petang semalam.

Menerusi video yang dikongsikan, gajah berkenaan dirakam sedang berhenti untuk minum air di kawasan berkenaan sebelum meneruskan pergerakannya.

Sebelum ini, Sulong mencuri perhatian orang ramai selepas beberapa rakaman tular memaparkan haiwan itu berjalan di sepanjang JRTB dalam perjalanan menuju ke arah Jeli dan Gua Musang.

Keadaan luka pada kaki hadapan kanannya turut mengundang rasa simpati orang ramai.

Bagaimanapun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataan semalam memaklumkan Sulong masih mampu makan serta bergerak dengan baik.

Perhilitan turut memaklumkan telah mengambil tindakan menggiring gajah tersebut kembali masuk ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya.

“Namun, haiwan itu didapati masih kembali ke kawasan jalan raya menyebabkan pemantauan serta tindakan menggiring akan diteruskan dua kali sehari, masing-masing pada waktu siang dan malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Sulong dah sampai mana pagi ni?’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved