
BAGI sesetengah orang, kejayaan mungkin diukur melalui kereta mewah, rumah besar atau percutian ke luar negara.
Namun, bagi usahawan dan pencipta kandungan, Khairul Aming, perjalanan membina perniagaan membawa makna yang jauh lebih peribadi.
Di sebalik kejayaan Sambal Nyet dan pelbagai cabang perniagaan yang dibangunkannya, tersimpan satu kisah yang cukup dekat dengan hatinya iaitu kenangan terhadap arwah bapa.
Menerusi sesi siaran langsung Selasa malam, Khairul Aming atau lebih mesra disapa KA, tidak dapat menahan air mata ketika mengenang kembali detik sukar sebelum kehidupannya berubah seperti hari ini.
Ketika itu, dia masih bekerja makan gaji dan belum mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh untuk menguruskan keperluan bapanya yang sedang sakit teruk.
Lebih menyentuh hati, Khairul Aming mengakui pernah berada dalam keadaan sehingga RM50 yang diminta bapanya pun tidak mampu diberikannya.

"Time itu saya rasa helpless. Saya tak ada duit. Dia sakit teruk, saya nak beli ubat pun tak dapat. Nak hire caretaker pun tak boleh sebab saya masih kerja makan gaji.
"Masa itu ayah saya tak ada duit. Dia minta RM50 pun saya tak boleh nak bagi. Sampai sekarang saya terfikir, kalaulah masa itu saya ada duit, mungkin saya boleh gunakan sedikit hasil jualan untuk bantu dia ketika sakit," ujarnya.
Kenangan itu menjadi antara perkara yang mendorongnya untuk terus bekerja keras selepas memulakan perniagaan sambal.
Menurutnya, ketika melancarkan Sambal Nyet pada 2021, wang simpanan daripada gaji yang dimiliki ketika itu hanyalah sekitar RM1,000 lebih.
Mengejar kemewahan
Jumlah tersebut digunakan sepenuhnya untuk memulakan perniagaan tanpa mengambil pinjaman.
"Saya guna semua duit simpanan gaji itu untuk sambal. Saya gamble saja masa itu, guna apa yang ada," katanya.
Sambal Nyet kemudiannya mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya merekodkan jualan sekitar RM140,000 dalam tempoh sejam pada sesi jualan awal.
Daripada situ, Khairul Aming memilih untuk tidak menggunakan keuntungan yang diperoleh bagi mengejar kemewahan peribadi.
Sebaliknya, wang berkenaan dipusingkan semula ke dalam perniagaan untuk mengembangkan operasi.
"Saya tak spend apa-apa pun. Saya tak beli kereta mahal, tak bercuti, tak buat apa-apa. Duit itu saya rolling semua.
"Daripada operasi kecil dengan sekitar 30 pekerja tempatan, perniagaannya berkembang sehingga mempunyai kira-kira 60 pekerja sebelum bertambah kepada sekitar 100 orang selepas pembukaan kilang ketiga," kongsinya lagi.
Apa yang lebih penting buat Khairul Aming, peluang pekerjaan itu seboleh-bolehnya diberikan kepada anak-anak Kelantan.
Baginya, tidak semua orang mempunyai kemampuan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur atau bandar besar lain semata-mata untuk mencari pekerjaan.
Bukan sekadar menyediakan pekerjaan, dia turut mahu pekerjanya menikmati hasil daripada usaha yang dilakukan bersama.

"Sekarang dah seratus orang anak Kelantan. Anak-anak Kelantan bukan semua mampu pergi ke KL cari kerja. That's why saya buat kerja di sana
"Bukan itu sahaja, ada staf saya yang tak pernah masuk hotel mahal, tak pernah rasa makan wagyu, tak pernah masuk waterpark. Jadi, bagi saya, it is my duty to help tempat lahir saya," katanya.
Bukan perjalanan tanpa cabaran
Di sebalik angka jualan yang mengagumkan, perjalanan Khairul Aming dalam dunia perniagaan juga tidak sunyi daripada kritikan.
Pelbagai cabaran hadir apabila dia mula mengembangkan perniagaan kepada produk makanan lain dan membuka restoran.
Malah, dia mengakui pernah melakukan kesilapan ketika menghasilkan produk baharu dan menerima kecaman daripada orang ramai.
"Saya tak marah. Saya anggap silap sendiri di situ. Saya pergi balik, ubah semula apa yang perlu. Saya tak kisah orang kecam, cuma saya tak nak orang beli sesuatu tetapi dapat benda yang tak sepatutnya.
"Namun, saya tak anggap kritikan sebagai alasan untuk berhenti memperbaiki kelemahan yang ada, tegasnya lagi.
Begitu juga ketika berdepan isu sistem jualan, 'scalper', kapasiti restoran dan kesesakan pelanggan.
Dia menjelaskan, tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan mudah kerana setiap keputusan turut memberi kesan kepada orang lain, termasuk peniaga dan penduduk di kawasan sekitar.
"Saya boleh buat pelanggan beratur dalam panas, tetapi rasa itu kejam. Kalau saya buat walk-in dan orang beratur depan kedai lain, macam mana peniaga sekitar nak cari makan? Penduduk pula nak balik rumah pun susah," katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui tekanan menguruskan beberapa cabang perniagaan bukan sesuatu yang mudah.

Inspirasi anak muda
Selain mengendalikan kilang dan restoran, dia masih perlu menghasilkan kandungan untuk memenuhi jangkaan pengikutnya.
"Kalau saya tak buat content, orang kata saya boring. Kalau saya buat content, saya penat dan tak boleh handle semua benda. Bila saya uruskan kilang, orang kata produk sama. Bila buka restoran pula, orang bandingkan dengan restoran lain.
"Namun, saya tetap memilih untuk meneruskan apa yang dirasakan sebagai tanggungjawab saya," ungkapnya.
Bagi Khairul Aming, kejayaan yang dibina bukan hanya untuk dirinya.
"Saya rasa saya ada tanggungjawab untuk bagi inspirasi kepada anak muda. Kalau satu hari nanti saya meninggalkan dunia ini, saya nak ada sesuatu yang boleh saya wariskan kepada orang lain," katanya.
Barangkali itulah sebabnya kisah perjalanan Khairul Aming tidak sekadar tentang bagaimana seorang anak muda berjaya menjual sambal hingga membina empayar perniagaan.

Di sebalik angka jualan, kilang dan restoran, ada pengalaman seorang anak yang pernah berasa tidak berdaya ketika melihat bapanya sakit.
Dan mungkin daripada rasa kehilangan serta ketidakmampuan itulah lahir satu tekad yang lebih besar — membina rezeki bukan semata-mata untuk hidup senang, tetapi supaya lebih ramai orang turut merasai manfaatnya.

![Khairul Aming Menitis Air Mata Kongsi Perjalanan Berniaga, Kisah Arwah Ayah Ketika Sakit Undang Sebak [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/09/Khairul-Aming-menangis-.jpg?t=1788935304)




