Dua penunggang motosikal cedera dalam 2 kemalangan berasingan

8 Sep 2026 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua penunggang motosikal cedera dalam 2 kemalangan berasingan
Kejadian pertama melibatkan sebuah van kilang dengan sebuah motosikal di Balik Pulau yang menyebabkan penunggang tercampak ke dalam longkang sedalam satu meter. - Foto: JBPM
Image from: Dua penunggang motosikal cedera dalam 2 kemalangan berasingan
Dalam kemalangan kedua, mangsa tersepit di bawah Proton Exora menyebabkannya cedera di bahagian leher. Foto: JBPM

GEORGE TOWN – Dua penunggang motosikal cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku di Balik Pulau dan Kepala Batas pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian pertama berlaku pada jam 7.54 pagi berhampiran Sekolah Kebangsaan Titi Teras, Balik Pulau.

Menurut beliau, seorang penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang sedalam kira-kira satu meter selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van kilang.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.54 pagi sebelum jentera tiba di lokasi enam minit kemudian.

“Kemalangan membabitkan sebuah van kilang dan sebuah motosikal Yamaha LC.

“Penunggang motosikal berusia 32 tahun tercampak ke dalam longkang, manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan serta tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa dari longkang sebelum diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan muka kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.31 pagi,” katanya.

**media[3640568]**

Dalam kejadian berasingan, John berkata, satu lagi kemalangan berlaku di Lorong Haji Hassan 2, Jalan Pokok Sena, Kampung Permatang Haji Hassan, Kepala Batas.

Menurutnya, seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah selepas tersepit di bawah sebuah kereta dalam kejadian kira-kira jam 2.16 petang.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Kemalangan membabitkan sebuah Proton Exora dan motosikal Yamaha MT-15 dengan dua individu terlibat.

“Penunggang motosikal berusia 19 tahun tersepit di bawah kereta dan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher,” katanya.

John berkata, pasukan bomba yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan operasi menyelamat sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas menggunakan ambulans EMRS.

“Pemandu kereta pula selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.12 petang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved