KOTA TINGGI – Enam remaja lelaki dilaporkan lemas ketika mandi-manda di Pantai Tanjung Lompat, Tanjung Balau, Penawar, di sini pada Rabu.
Dua daripada mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba di lokasi tiba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Adib Tarmuzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.19 pagi.
"Operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT itu masih berlangsung ketika ini.
"Kesemuanya berumur 16 tahun dan difahamkan mereka datang berkhemah serta mandi di Tanjung Lompat.
"Maklumat lanjut termasuk keadaan kesemua mangsa masih dalam proses pengesahan," ujarnya dalam kenyataan.






