Subkontrak ketiga daripada Gamuda kukuhkan kedudukan AWC sebagai vendor pusat data – Apex Securities

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Subkontrak ketiga daripada Gamuda kukuhkan kedudukan AWC sebagai vendor pusat data – Apex Securities Image from: Subkontrak ketiga daripada Gamuda kukuhkan kedudukan AWC sebagai vendor pusat data – Apex Securities liza15/10/2026 - 12:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – AWC Berhad berpotensi memperoleh lebih banyak kontrak berkaitan pusat data susulan kejayaan anak syarikat milik penuhnya, Qudotech Sdn Bhd mendapatkan subkontrak bernilai RM39.7 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd.

 

Apex Securities berkata, pemberian kontrak berulang daripada Gamuda Engineering membuka peluang kepada AWC untuk mendapatkan pakej kerja tambahan di tapak projek sama apabila pembangunan dilaksanakan secara berperingkat.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kontrak terbaharu berkenaan merupakan subkontrak pusat data ketiga yang diperoleh AWC daripada Gamuda Engineering, selepas projek di Rawang bernilai RM19.9 juta dan Puncak Alam bernilai RM42.3 juta.

 

Subkontrak bernilai RM39.7 juta itu melibatkan kerja sistem air sejuk, penuaian air hujan, pengagihan air, pili bomba dan sanitari bagi pembangunan pusat data berskala besar di Bandar Spring Hill, Port Dickson.

 

Kerja awal projek berkenaan bermula pada 14 Ogos 2026 dan dijadualkan siap pada 22 Oktober 2027, dengan pelaksanaan kontrak dijangka menyumbang kepada pendapatan AWC mulai suku pertama tahun kewangan 2027.

 

Kontrak baharu tingkatkan jumlah kerja kepada RM900 juta

Apex Securities berkata, kontrak terbaharu itu meningkatkan jumlah buku tempahan kumpulan kepada kira-kira RM900 juta, berbanding RM860.5 juta sebelum ini.

 

“Jumlah itu bersamaan kira-kira dua kali ganda hasil AWC bagi tahun kewangan 2026, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan daripada kerja yang masih perlu dilaksanakan.

 

“Pada masa sama, jumlah kontrak belum disiapkan bagi segmen Kejuruteraan meningkat kepada kira-kira RM202 juta, berbanding RM139.2 juta pada akhir suku keempat tahun kewangan 2026, selepas mengambil kira kontrak bernilai RM23.1 juta yang diperoleh pada Ogos 2026 serta kontrak terbaharu daripada Gamuda Engineering,” kata fima tersebut dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AWC peroleh subkontrak RM39.7 juta bagi pusat data berskala mega di Port Dickson

 

Kontrak pusat data dijangka sumbang RM4.8 juta keuntungan

Apex Securities menganggarkan kontrak baharu itu mampu menjana keuntungan selepas cukai kira-kira RM4.8 juta sepanjang tempoh pelaksanaannya, berdasarkan andaian margin keuntungan selepas cukai sekitar 12%.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira RM3.5 juta dijangka diiktiraf dalam tahun kewangan 2027, bersamaan kira-kira 12% daripada unjuran keuntungan bersih teras AWC sebanyak RM30.1 juta bagi tempoh berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran keuntungan bersih teras AWC bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 2.4% dan 2.2% kepada RM30.1 juta serta RM37.6 juta.

 

Semakan itu mengambil kira perolehan kontrak baharu segmen Kejuruteraan bagi tahun kewangan 2027 yang telah mencapai RM62.8 juta setakat tarikh laporan, melebihi andaian awal Apex Securities sebanyak RM62.3 juta.

 

Susulan perkembangan itu, firma berkenaan menaikkan andaian perolehan kontrak baharu segmen Kejuruteraan bagi tahun kewangan 2027 kepada RM89.1 juta, berbanding RM62.3 juta sebelum ini, dengan lapan bulan lagi berbaki dalam tahun kewangan tersebut.

 


Apex Securities mengekalkan saranan BELI terhadap saham AWC dan menaikkan harga sasaran kepada RM1.25 daripada RM1.22, berdasarkan penilaian terhadap beberapa segmen perniagaan kumpulan serta unjuran pendapatan yang lebih tinggi.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved