sarah28/10/2026 - 18:14 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Perniagaan pengedaran produk infrastruktur teknologi maklumat (IT) OGX Group Berhad melonjak 281.6% kepada RM19.6 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2027 yang berakhir pada 31 Ogos 2026, berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan ketara itu menjadikan segmen pengedaran produk IT antara penyumbang kepada pertumbuhan hasil kumpulan, selain perniagaan penyelesaian infrastruktur IT serta perkhidmatan jaminan produk dan sokongan teknikal.
Menurut kenyataan OGX, segmen penyelesaian infrastruktur IT kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan dengan mencatatkan peningkatan 21.5% kepada RM59 juta, manakala hasil perkhidmatan jaminan produk dan sokongan meningkat 49.8% kepada RM6.9 juta.
Secara keseluruhan, hasil kumpulan bagi suku berakhir 31 Ogos 2026 meningkat kepada RM85.5 juta berbanding RM58.3 juta pada suku sebelumnya, sementara keuntungan sebelum cukai melonjak 148.6% kepada RM10.3 juta.
Keuntungan selepas cukai pula meningkat 90.1% kepada RM7.1 juta, mencerminkan pertumbuhan hasil merentasi ketiga-tiga segmen perniagaan kumpulan.
Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan OGX, Tan Suan Loong berkata, prestasi itu disokong peningkatan hasil dalam semua segmen perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan kasar ketika perbelanjaan pentadbiran kekal stabil.
"Kami berbesar hati memulakan tahun kewangan dengan prestasi yang kukuh, disokong pertumbuhan hasil dalam ketiga-tiga segmen perniagaan. Peningkatan hasil telah meningkatkan keuntungan kasar, manakala perbelanjaan pentadbiran kekal stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, OGX kekal yakin terhadap prospek pertumbuhan jangka panjangnya, disokong permintaan berterusan terhadap penyelesaian infrastruktur IT apabila organisasi mempercepat pendigitalan dan memperkukuh keupayaan keselamatan siber.
Menurutnya, kumpulan yang mempunyai portfolio 20 prinsipal jenama dan rangkaian lebih 600 penyepadu sistem itu turut melaksanakan strategi pengembangan termasuk pemerolehan ibu pejabat baharu, pembukaan pejabat jualan di Malaysia Timur, pelancaran Pusat Operasi Keselamatan (SOC) serta peluasan ke pasaran serantau.
Selain itu, pelantikan sebagai pengedar sah produk Axtraction AI dan HYXI dijangka memperluas penawaran produk serta mempelbagaikan sumber hasil kumpulan, manakala OGX turut memasuki sektor tenaga boleh baharu pada September 2026 menerusi OGX Green Tech Sdn Bhd yang mengedarkan sistem penyimpanan tenaga bateri, inverter dan bateri.- DagangNews.com






