sarah29/10/2026 - 14:11 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatatkan kutipan hasil RM70.15 bilion bagi sembilan bulan pertama 2026, melebihi sasaran RM62.09 bilion yang ditetapkan bagi tempoh tersebut.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, kutipan sehingga 30 September itu mencapai 112.98% daripada sasaran, selain meningkat 23.06% atau RM13.15 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Berdasarkan prestasi kutipan semasa yang memberangsangkan ini, JKDM yakin berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai, malah berpotensi melepasi sasaran kutipan hasil sebanyak RM80 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan bagi tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Istiadat Mengarak Gencana Diraja Kastam bagi memperingati ulang tahun ke-63 penganugerahan gelaran Diraja kepada JKDM di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Ayer Keroh, Melaka, hari ini.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan komitmen warga JKDM dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, namun kecemerlangan sesebuah institusi bukan hanya diukur berdasarkan jumlah kutipan, sebaliknya turut melibatkan kecekapan, ketelusan, keadilan dan integriti dalam menjalankan amanah.
Seiring perubahan landskap perdagangan global, Amran berkata, JKDM perlu memperkukuh keupayaan organisasi melalui risikan, analisis risiko dan penggunaan teknologi yang lebih berkesan, termasuk pemodenan sistem, proses kerja serta perkongsian data.
Beliau berkata, peranan JKDM kini merangkumi tiga teras utama, iaitu kutipan hasil, memudah cara perdagangan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh ekonomi negara serta melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
JKDM menerima gelaran Diraja pada 29 Oktober 1963 daripada Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra Al-Haj, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada pembangunan negara, ketika hasil kastam dan eksais menyumbang lebih 50% daripada keseluruhan hasil tahunan Kerajaan Persekutuan. - DagangNews.com






