johardy22/09/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept - Johor Plantations Group Bhd (JPG) berpotensi mencatat keuntungan dan margin lebih kukuh apabila fenomena El Niño mengancam untuk mengetatkan bekalan minyak sawit serantau serta memanjangkan persekitaran harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi sehingga tahun kewangan 2027 (FY2027).
JF Apex Securities Research berkata, JPG dijangka meraih manfaat besar daripada harga jualan MSM yang lebih tinggi berikutan pendedahan pendapatan kumpulan itu yang masih tertumpu kepada aktiviti perladangan huluan.
Sebahagian besar kos operasi perladangan tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga jualan. Oleh itu, peningkatan harga MSM berpotensi menghasilkan pertumbuhan margin yang lebih ketara bagi kumpulan tersebut.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan terhadap JPG dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran RM2.23, membayangkan potensi kenaikan sebanyak 20.6% berbanding harga rujukan yang digunakan dalam penilaiannya.
El Niño ancam bekalan sawit serantau
JF Apex berkata, perkembangan fenomena El Niño berpotensi menjadi pemangkin kepada harga MSM kerana cuaca panas dan kering yang berpanjangan boleh mengurangkan produktiviti sawit selepas suatu tempoh tertentu.
Semakan menurun terhadap jangkaan pengeluaran di Malaysia dan Indonesia akan mengetatkan prospek bekalan serta berpotensi memanjangkan persekitaran harga MSM yang tinggi ketika ini sehingga FY2027.
Keadaan tersebut akan menyediakan pemangkin keuntungan jangka pendek yang kukuh kepada JPG ketika kumpulan itu meneruskan transformasi jangka panjang daripada pengeluar berasaskan perladangan kepada pemain minyak sawit bersepadu.
Operasi huluan dan pertengahannya masing-masing menjana hasil RM1.3 bilion dan RM457 juta pada FY2025, merangkumi kira-kira 99% daripada hasil kumpulan serta menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan selanjutnya.
Aliran pendapatan baharu daripada iSPOC
Selain prospek harga MSM yang menggalakkan, JPG sedang membangunkan aliran pendapatan hiliran baharu menerusi Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu (iSPOC) di Sedili, Johor.
Kompleks yang dijadualkan memulakan operasi pada separuh kedua FY2026 itu merangkumi kilang penapisan minyak dan lemak khusus yang akan membolehkan JPG berkembang melangkaui produk MSM pukal dan isirung sawit kepada segmen premium bernilai lebih tinggi.
JF Apex menjangkakan kejayaan memulakan operasi iSPOC serta peningkatan kadar penggunaan kapasiti secara berperingkat akan memberi rangsangan bermakna kepada keuntungan mulai FY2027 apabila jumlah pengeluaran bertambah.
Gabungan margin huluan yang lebih kukuh dan peningkatan sumbangan hiliran berpotensi memperbaiki campuran pendapatan JPG, sekali gus menyokong penilaian saham yang lebih tinggi.
JF Apex menetapkan harga sasaran RM2.23 dengan menggunakan purata nisbah harga kepada pendapatan hadapan sektor perladangan sebanyak 15.1 kali terhadap unjuran pendapatan teras sesaham JPG sebanyak 14.7 sen bagi FY2027.
Penilaian itu turut disokong oleh penarafan tiga bintang bagi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) JPG.
Firma penyelidikan itu berkata, risiko terhadap prospek positif berkenaan termasuk turun naik harga MSM dan isirung sawit, inflasi kos, tekanan margin, pelaksanaan strategi pertumbuhan hiliran bersepadu, cuaca buruk serta perubahan hasil pengeluaran ladang. — DagangNews.com






