
SHAH ALAM, 5 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang sebagai kenangan bermakna buat peminat sukan permotoran.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata perlumbaan berkenaan menyajikan aksi hebat daripada pelumba dan pasukan bertaraf dunia.
Anwar bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa turut menyampaikan trofi kepada pelumba dan pasukan yang mengungguli perlumbaan itu.
“Tahniah kepada Max Verstappen, Kimi Antonelli dan Lewis Hamilton serta pasukan Red Bull Racing atas kejayaan yang diraih dalam perlumbaan yang penuh debaran dan persaingan sengit,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pelumba dan pasukan atas persembahan yang disajikan kepada peminat dari seluruh dunia.
“Terima kasih kepada seluruh pelumba dan pasukan atas aksi hebat yang disajikan buat peminat dari seluruh dunia, sekali gus menjadikan perlumbaan di Sepang kali ini kenangan yang cukup bermakna,” katanya.
Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa serta kerajaan kedua-dua negara.
Meskipun litar dibasahi hujan, kemeriahan di kawasan penonton tidak sedikit pun surut sekali gus mencerminkan betapa besarnya kerinduan peminat terhadap F1 selepas sembilan tahun sukan itu tidak singgah di Malaysia.






