“Guru cukup-cukuplah”, Zahid desak Anwar dengar suara rakyat, kembalikan GST

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 2:22 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

“Guru cukup-cukuplah”, Zahid desak Anwar dengar suara rakyat, kembalikan GST

KUALA LUMPUR – “Guru, cukup-cukuplah guru”, demikian pesanan terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mendesak kerajaan mendengar suara rakyat termasuk mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ahmad Zahid yang beberapa kali merujuk Anwar sebagai ‘guru’ berkata, suara yang dibawanya bukan sekadar pendirian UMNO, malah mewakili Barisan Nasional (BN) serta keresahan rakyat terhadap beberapa dasar kerajaan ketika ini.

“Guru, cukup-cukuplah guru. Dengarlah suara kami, guru. Dengarlah suara rakyat, guru. Cukup-cukuplah. Insya-Allah, kami boleh buat lebih daripada apa yang guru buat.

“Guru tukar balik percukaian kepada sistem GST. Mana ada (sistem) hibrid, tiada siapa buat hibrid GST dan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Gesaan berkenaan mendapat tepukan dan sorakan daripada perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mempertahankan pelaksanaan GST ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan berpandangan sistem percukaian itu wajar dikembalikan.

“Dengarlah rakyat cakap ni. Bosku dah buat betul dah (dengan melaksanakan GST). Insya-Allah, kita kembalikan GST dalam sistem percukaian di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian mengulangi pesanannya dengan nada lebih tegas supaya Perdana Menteri tidak mengetepikan pandangan yang disuarakan UMNO, BN dan rakyat.

“Guru, dengarlah guru. Jangan butakan mata, jangan tulikan telinga. Cukup-cukuplah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan teguran berkenaan bukan bertujuan menjadi ‘batu api’ atau mencetuskan perselisihan dalam kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, suara rakyat perlu diberikan perhatian supaya keresahan, kegelisahan dan kekeliruan terhadap dasar kerajaan tidak berlarutan.

Menurutnya, keadaan itu jika dibiarkan boleh mewujudkan apa yang disifatkannya sebagai ‘keliruisme’ yang tidak berkesudahan dalam kalangan rakyat.

The post “Guru cukup-cukuplah”, Zahid desak Anwar dengar suara rakyat, kembalikan GST appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved