
PETALING JAYA: Kemalangan melibatkan Hakim Danish Ramli di Litar Silverstone, England, minggu lalu sama sekali tidak mematahkan semangatnya menjelang Grand Prix (GP) Aragon di Sepanyol, minggu depan.
“Alhamdulillah, saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Dalam perlumbaan saya berasa sangat baik dengan jentera dan cukup yakin untuk bersaing dalam kelompok hadapan.
“Tetapi malangnya saya terjatuh kerana cuba mengelak pelumba lain terjatuh. Apa-apa pun, ada perkara positif yang boleh saya ambil. Banyak perkara yang saya pelajari dan saya tidak sabar untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Aragon,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut Hakim Danish, dia akan cuba melakukan yang terbaik dan meneruskan latihan untuk kembali lebih kuat pada perlumbaan seterusnya.
Sementara itu, Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, nasib tidak menyebelahi Hakim Danish di Silverstone, dua pelumba telah melangggar jenteranya dari belakang sehingga menyebabkan hilang kawalan sebelum terjatuh.
“Mujur, dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Keputusan di Silverstone tidak menggambarkan potensi sebenar Hakim Danish yang menunjukkan prestasi kompetitif sepanjang hujung minggu lalu,” katanya.
Jelas Zulfahmi, pasukan akan menggunakan pengalaman di Silverstone untuk melakukan penambahbaikan pada jentera, selain memastikan Hakim Danish dapat mengambil pengajaran menjelang saingan di Aragon. – UTUSAN
The post Hakim Danish janji bangkit di Aragon appeared first on Utusan Malaysia.






