Hannah Yeoh mahu Dataran Merdeka terus hidup sebagai ruang awam rakyat

1 Sep 2026 • 9:49 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dataran Merdeka sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai antara ruang awam paling ikonik negara apabila lebih 60,000 pengunjung membanjiri kawasan itu bagi memeriahkan Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka 2026, malam Ahad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kehadiran masyarakat daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang memperlihatkan bagaimana Dataran Merdeka mampu menjadi ruang penyatuan rakyat dalam meraikan detik penting negara.

Menurutnya, ada yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan, namun semuanya berkumpul di lokasi yang sama dengan satu semangat iaitu menyambut kemerdekaan sebagai rakyat Malaysia.

“Seronok melihat Dataran Merdeka dipenuhi orang ramai malam tadi (Ahad malam) dengan anggaran melebihi 60,000 orang.
“Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang bersama kawan-kawan. Berbeza umur dan latar belakang tetapi kita dapat berkumpul di tempat yang sama untuk menyambut Merdeka sebagai rakyat Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Image from: Hannah Yeoh mahu Dataran Merdeka terus hidup sebagai ruang awam rakyat

Pertunjukan dron turut menjadi antara tarikan utama malam sambutan berkenaan selepas pertunjukan bunga api tidak diadakan berikutan keadaan jerebu.

Hannah berkata, penggunaan dron sebagai alternatif tetap berjaya mencipta pengalaman istimewa buat puluhan ribu pengunjung yang memenuhi ruang sekitar Dataran Merdeka.

“Apabila pertunjukan bunga api tidak diadakan berikutan keadaan jerebu, dron menjadi alternatif yang tetap memberikan detik istimewa di langit Dataran Merdeka,” ujanrnya.

Beliau berkata, kejayaan sambutan itu juga selari dengan hasrat untuk memastikan Dataran Merdeka terus berfungsi sebagai ruang awam yang hidup dan bukan sekadar lokasi bersejarah.

Image from: Hannah Yeoh mahu Dataran Merdeka terus hidup sebagai ruang awam rakyat

Menurut Hannah, ruang tersebut perlu terus diaktifkan menerusi pelbagai program yang menghimpunkan masyarakat, di samping membuka peluang kepada penggiat seni serta peniaga tempatan.

“Saya memang mahu ruang awam seperti Dataran Merdeka terus hidup begini.
“Dipenuhi muzik, anak seni, peniaga tempatan dan orang ramai yang datang untuk menikmati bandar ini bersama-sama,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CIMB atas kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menjayakan Konsert Kita Bagi Jadi @ Ambang Merdeka 2026.

Image from: Hannah Yeoh mahu Dataran Merdeka terus hidup sebagai ruang awam rakyat

Dalam pada itu, Hannah menegaskan semangat kemerdekaan tidak seharusnya hanya diraikan menerusi sambutan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tanggungjawab bersama dalam menjaga negara dan hubungan sesama rakyat.

“Bagi saya, Merdeka bukan sekadar tentang apa yang kita raikan malam ini.
“Selepas semuanya selesai, kita tetap mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu menjaga negara ini dan menjaga satu sama lain,” tambahnya lagi.

Sumber: Facebook Hannah Yeoh

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved