
PETALING JAYA: Hari yang sepatutnya diraikan dengan bahagia bertukar sedih apabila pempengaruh dan penyanyi, Cik B, memaklumkan bapa kandungnya, Mohd. Amin Yasin disahkan meninggal dunia pada tarikh sama ulang tahun kelahiran ibunya, Datuk Seri Vida.
Khabar duka itu dikongsikan sendiri oleh Vida atau Hasmiza Othman menerusi laman sosialnya yang menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat anak-anaknya.
Menurut Vida, walaupun dia bersyukur dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang baik sempena ulang tahun kelahirannya hari ini, namun berita pemergian Allahyarham Mohd. Amin amat mengejutkan.
“Hari ini 24/10/2026 hari ulang tahun saya. Amat gembira dengan segala ucapan yang diberikan dan syukur masih diberi nyawa dan kesihatan yang baik.
“Namun pada tarikh ini juga, duka citanya bapa kandung Cik B dan Kacak telah meninggal dunia pada pagi tadi. Al-Fatihah buat bapa kandung Cik B dan Kacak, Mohamad Amin Yasin,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Tolonglah, Cik B atau Edlynn Zamilleen turut menzahirkan rasa ralat dan keliru apabila terpaksa berhadapan dengan situasi antara syukur dan duka dalam satu masa yang sama.
“Hari ini hari jadi Mama, dan hari ini juga Cik B dapat berita yang Abah dah meninggal dunia. Saya sejujurnya tidak tahu bagaimana untuk merasakannya.
“Satu hari yang sepatutnya dipenuhi dengan kebahagiaan, tetapi sebaliknya, saya kini sedang berkabung. Al-Fatihah,” luahnya.
Allahyarham Mohd. Amin merupakan suami pertama Datuk Seri Vida dan hasil perkongsian hidup tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Cik B dan Muhammad Eric Zecquan (Kacak).
Terdahulu, sejarah duka pernah menyelubungi keluarga ini apabila dua anak sulung mereka, Eddie dan Edrie meninggal dunia dalam satu tragedi kebakaran menyayat hati pada tahun 2013.
Vida dalam hantarannya turut mendoakan agar Allahyarham Mohd. Amin tenang di sana dan menyifatkan dua arwah anak mereka kini sedang menanti kepulangan bapa kandung mereka di alam abadi. -UTUSAN
The post Hari lahir Vida diselubungi hiba, bapa kandung Cik B meninggal dunia appeared first on Utusan Malaysia.






