
PETALING JAYA: Harimau Malaya mampu memberikan tentangan lebih sengit kepada Vietnam pada separuh akhir Piala ASEAN 2026 sekiranya skuad negara dibarisi pemain utama.
Bagaimanapun, pengendali interiam Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menegaskan ketiadaan tonggak utama bukan alasan atas kegagalan pasukannya dalam saingan Piala ASEAN kali ini.
Harimau Malaya gagal ke final Piala ASEAN 2026 selepas sekali lagi tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, kelmarin, sekali gus tersingkir menerusi agregat 0-4.
Menurut Cheng Hoe, sekiranya pemain terbaik dapat dikumpulkan bersama pasukan, Malaysia berupaya mencabar keputusan perlawanan dengan lebih sengit.
“Jika saya ada pemain terbaik dalam pasukan, sudah tentu kita boleh beri saingan lebih baik kepada Vietnam. Kita boleh mencabar keputusan perlawanan.
“Saya tetap rasa bangga dengan pemain muda yang kami ada sekarang. Mereka hadir dan memberikan keyakinan kepada saya yang mereka adalah masa depan buat pasukan,” katanya.
Antara tonggak utama yang tidak bersama skuad negara pada kejohanan kali ini ialah Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Dion Cools dan ramai lagi susulan Piala ASEAN berlangsung di luar kalendar FIFA menyebabkan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka.
Situasi itu menyaksikan Cheng Hoe terpaksa mempertaruhkan barisan yang turut dibarisi hampir separuh pemain muda dalam kempen kali ini daripada peringkat kumpulan hingga berdepan Vietnam di separuh akhir.
Namun, bekas pengendali skuad kebangsaan itu tidak melihat kekalahan itu sebagai sesuatu yang mengecewakan apabila menyifatkan keberanian serta komitmen pemain muda sebagai perkara positif untuk masa depan Harimau Malaya.
“Saya bangga dengan pemain saya walaupun kami kalah di tempat sendiri 0-2 dan tempat lawan sekali lagi dengan 0-2. Selaku jurulatih saya berbangga dengan pemain di mana komitmen daripada pemain cukup tinggi, sememangnya membanggakan,” katanya.
Malaysia terlebih dahulu tewas 0-2 kepada Vietnam pada separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum keputusan sama berulang di Hanoi untuk menyaksikan skuad negara gagal mara ke final.
Cheng Hoe berkata, pengalaman yang dikutip pemain muda sepanjang kempen Piala ASEAN kali ini cukup penting bagi perkembangan mereka, terutama dalam menghadapi lawan berkualiti seperti Vietnam.
“Pada masa sama kita sedar Vietnam menghantar skuad terbaik mereka di samping mereka adalah juara bertahan. Selepas ini persiapan kita untuk menghadapi kejohanan ini, pemain saya terutamanya tonggak muda akan meningkat dari segi pengalaman untuk terus meningkat pada masa depan,” katanya.
Walaupun gagal melangkah ke final, Cheng Hoe tetap melihat kempen kali ini sebagai medan penting untuk pemain muda negara menimba pengalaman dan membuktikan mereka mempunyai potensi untuk menjadi tonggak Harimau Malaya pada masa akan datang. – UTUSAN
The post Harimau Malaya perlukan skuad terbaik appeared first on Utusan Malaysia.






