Intel Memulakan Pembangunan Teknologi Pengeluaran Cip Semikonduktor 10A dan 7A

TechnologyDigital
21 May 2026 • 4:18 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pelan 5N4Y Intel sudahpun mula membuahkan hasil, dimana syarikat tersebut kini telah kembali menghasilkan cip pemprosesan mereka sendiri menggunakan proses pengeluaran semikonduktor 18A, yang mana proses 14A juga akan mula beroperasi sekitar penghujung 2028 kelak.

Lip-Bu Tan, CEO Intel telah mengesahkan bahawa kerja telah dimulakan untuk membangunkan dua teknologi proses baharu, iaitu Intel 10A dan Intel yang dijangka hanya akan beroperasi sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang sebagai langkah bersiap-sedia untuk keperluan di masa hadapan.

Image from: Intel Memulakan Pembangunan Teknologi Pengeluaran Cip Semikonduktor 10A dan 7A

Pengumuman ini dibuat untuk memberi pelanggan kepastian bahawa pembangunan teknologi proses pengeluaran cip semikonduktor tidak akan terhenti apabila proses 14A mula beroperasi kelak. Dengan pengesahan bahawa proses 10A dan 7A sedang dibangunkan, Ini sedikit sebanyak memberi keyakinan bahawa perkhidmatan Intel di masa hadapan boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan cip semikonduktor baru bukan sahaja untuk komponen sendiri, tetapi juga pelanggan-pelanggan mereka.

Dalam pada itu, Lip-Bu Tan juga mengesahkan bahawa PDK (Process Design Kit) 0.9 untuk proses 14A akan diperlihatkan pada bulan Oktober tahun ini yang akan membolehkan para pelanggan Intel untuk “menguji” proses pengeluaran Intel tersebut, dan membuat keputusan samada kadar pengeluaran yang dihasilkan adalah bersesuaian dengan keperluan pelanggan-pelanggan.

Image from: Intel Memulakan Pembangunan Teknologi Pengeluaran Cip Semikonduktor 10A dan 7A

Beliau juga mengatakan bahawa terdapat beberapa syarikat yang berminat untuk menggunakan proses tersebut, tetapi belum mendedahkan siapakah mereka buat masa ini. Beliau mengatakan apabila mereka bersedia untuk membuat pengumuman tersebut, pihak Intel akan tampil untuk membantu memberi butiran lanjut mengenainya.