IOI Corp rancang pajak lebih banyak tanah ladang untuk projek solar, sasar pendapatan sehingga 23 tahun

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 4:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IOI Corp rancang pajak lebih banyak tanah ladang untuk projek solar, sasar pendapatan sehingga 23 tahun Image from: IOI Corp rancang pajak lebih banyak tanah ladang untuk projek solar, sasar pendapatan sehingga 23 tahun sarah04/11/2026 - 16:21 Gambar dari laman web IOI Group Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - IOI Corporation Bhd (IOI Corp) merancang memajak lebih banyak tanah ladang kelapa sawitnya untuk pembangunan projek tenaga solar bagi menjana aliran pendapatan berterusan sehingga 23 tahun, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada turun naik harga minyak sawit.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Lee Yeow Chor berkata, syarikat itu sedang menilai beberapa ladang lain selepas menerima pendekatan daripada pemaju tenaga boleh diperbaharui yang berpengalaman untuk membangunkan projek solar.

 

Menurutnya, sekurang-kurangnya dua lagi ladang IOI Corp terletak berhampiran pusat sambungan utama grid elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB), menjadikannya berpotensi untuk pembangunan projek berkenaan.

 

“Ia bergantung kepada sambungan grid dan lokasi pusat sambungan utama. Kami mempunyai sekurang-kurangnya dua lagi ladang yang berhampiran pusat sambungan utama grid TNB,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) IOI Corp hari ini.

 

Projek solar 500MW bersama TNB

Perkembangan itu menyusuli pengumuman IOI Corp pada Selasa mengenai kerjasama dengan TNB dan konsortium 12 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membangunkan projek tenaga solar berkapasiti 500 megawatt (MW) di Bahau, Negeri Sembilan, yang disasarkan siap menjelang akhir 2028.

 

Projek di bawah pelan strategik lima tahun IOI Corp bagi 2025 hingga 2029 itu akan dilaksanakan menerusi Bahau Energy Ventures Sdn Bhd, dengan anak syarikat TNB, TRe memegang 70% kepentingan, Luminous Aspect Sdn Bhd milik IOI Corp sebanyak 25% dan baki 5% oleh konsortium PKS menerusi CSP 500MW Sdn Bhd.

 

Yeow Chor berkata, masih terlalu awal untuk menganggarkan sumbangan projek tersebut kepada keuntungan kumpulan memandangkan pembangunannya masih di peringkat awal, namun pendapatan pajakan tanah dijangka lebih stabil berbanding hasil operasi perladangan yang dipengaruhi turun naik harga komoditi.

 

Pelaburan solar 16 kali lebih tinggi berbanding penanaman semula

“Melalui pajakan tanah, kami menjangkakan pendapatan yang lebih konsisten sepanjang tempoh 21 hingga 23 tahun, berbanding terdedah kepada turun naik harga komoditi. Ini memberikan sumber pendapatan yang lebih stabil berbanding operasi perladangan,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, kos penanaman semula kelapa sawit dianggarkan sekitar RM10,000 seekar, manakala pembangunan loji solar dengan sistem penyimpanan bateri memerlukan pelaburan kira-kira RM160,000 seekar, iaitu 16 kali lebih tinggi, sekali gus menjadikan pulangan munasabah daripada penggunaan tanah tersebut penting kepada strategi kepelbagaian perniagaan IOI Corp.

 

Berdasarkan laporan tahunan terkini, IOI Corp mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit seluas 149,400 hektar di Malaysia setakat 30 Jun 2026, dengan 74% terletak di Malaysia Timur dan baki 26% di Semenanjung Malaysia. Kumpulan itu mula menilai penggunaan tanah ladang yang semakin berusia untuk pembangunan solar sejak 2024 sebagai usaha menjana nilai daripada aset kurang produktif.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved