Ismail Sabri didakwa tidak isytihar harta termasuk wang jutaan ringgit, jongkong emas

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 9:59 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Ismail Sabri didakwa tidak isytihar harta termasuk wang jutaan ringgit, jongkong emas

Ismail Sabri, 66, yang juga Ahli Parlimen Bera mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta dan jutaan wang tunai pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas, tahun lepas.

Ismail Sabri, 66, yang juga Ahli Parlimen Bera mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 7 Jan 2025.

Notis itu telah dihantar kepada Ismail Sabri oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 Jan 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta seperti yang dinyatakan.

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SGD6,132,350, USD1,461,400, CHF3,000,000, EUR12,164,150, JPY363,000,000, GBP50,250, NZD44,600, AED34,750,000 dan AUD352,850 serta lima ketul jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat 1 kilogram setiap satu selain seketul jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan sekeping syiling emas 999 Fine Gold seberat 5 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 7 Feb 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan manakala Ismail Sabri diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.

Bekas perdana menteri itu sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke hari ini selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan hari ini selepas Amer Hamzah memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).

Suzana membenarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin terdiri daripada ahli keluarga tertuduh dan menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun, hakim itu tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya pasport Ismail Sabri diserahkan kepada mahkamah kerana tiada bukti menunjukkan beliau berisiko melarikan diri.

Terdahulu, Farah Ezlin berkata di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM kesalahan itu tidak boleh dijamin (non-bailable offence), namun pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung jaminan tersebut.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

“Kesalahan ini melibatkan bekas perdana menteri dan jumlah terlibat dalam pertuduhan adalah besar. Beliau mempunyai kemampuan kewangan yang lebih daripada mencukupi untuk menyediakan jumlah (jaminan) itu,” katanya yang memaklumkan jika pasport tidak diserahkan kepada mahkamah, adalah sukar bagi pendakwaan untuk menjejaki keberadaan orang kena tuduh (OKT) dan memastikan beliau hadir pada prosiding mahkamah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved