
PUTRAJAYA: Ibu bapa diingatkan supaya tidak mendedahkan secara berlebihan maklumat peribadi dan gambar anak-anak di media sosial bagi mengelak risiko dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesedaran mengenai keselamatan digital kanak-kanak perlu diperkukuh secara berterusan kerana pendedahan berlebihan di media sosial boleh memberi risiko kepada privasi dan keselamatan mereka.
Beliau berkata, walaupun kementerian tidak mengambil tindakan secara langsung terhadap ibu bapa, peringatan berkaitan risiko tersebut sentiasa diberikan menerusi pelbagai program serta sesi libat urus bersama keluarga.
“Program bersama ibu bapa tidak boleh dihentikan kerana kita perlu terus mengingatkan mereka supaya memahami risiko apabila terlalu banyak mendedahkan maklumat atau gambar anak-anak di media sosial,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9 di sini, hari ini.
Nancy berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memainkan peranan dalam menangani isu keselamatan dalam talian, manakala kementerian pula akan meneruskan pendekatan mendidik ibu bapa mengenai kepentingan menjaga privasi anak-anak.
Katanya, kementerian menerusi agensi berkaitan turut menyediakan ruang selamat seperti pusat di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membolehkan golongan muda berinteraksi, membaca, bermain dan menyuarakan pandangan tanpa bergantung sepenuhnya kepada media sosial.
Beliau yang berkongsi perspektifnya sebagai ibu dan nenek turut menyeru semua ibu bapa supaya sentiasa mengutamakan privasi diri serta anak-anak ketika berkongsi kandungan di platform digital.
“Apabila terlalu banyak maklumat peribadi didedahkan, ia membuka ruang kepada pihak yang mahu melakukan kemudaratan terhadap kanak-kanak. Jadi marilah kita bersama-sama memastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nancy berkata, cadangan yang dikemukakan peserta Forum Kanak-Kanak ASEAN Ke-9 akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam semakan Akta Kanak-Kanak sekiranya bersesuaian dan relevan.
Beliau berkata, semakan Akta Kanak-Kanak masih dalam proses dan belum dimuktamadkan, sekali gus memberi ruang untuk menilai pandangan serta cadangan baharu termasuk daripada golongan kanak-kanak sendiri. – UTUSAN
The post Jangan dedah terlalu banyak maklumat anak di media sosial appeared first on Utusan Malaysia.






