amree25/09/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Sept — Jelawang Capital Sdn Bhd, syarikat dana modal teroka dimiliki Khazanah Nasional Berhad, melantik Howard Soh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Oktober 2026, selepas jawatan berkenaan kosong kira-kira 15 bulan.
Pelantikan tersebut dilihat sebagai positif ketika Jelawang Capital berusaha memperluaskan peranan dalam bekerjasama dengan pengurus dana modal teroka bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula niaga dan modal teroka di pasaran Malaysia.
Beliau menggantikan CEO sebelum ini, Bryan Lim yang meninggalkan Jelawang Capital dan Khazanah pada akhir Jun 2025 selepas berkhidmat selama lebih 20 tahun dengan dana kekayaan berdaulat itu.
"Soh menyertai Jelawang Capital daripada firma pelaburan berasaskan Asia, LemmaTree, dengan beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan itu," jelas syarikat tersebut.
Beliau pernah menjadi CEO Sea Malaysia dan Pengarah Pelaburan di Ekuiti Nasional Berhda (Ekuinas), di samping mengasaskan serta menerajui operasi awal Lazada, Zalora dan Foodpanda di Malaysia.
Dalam kenyataan, Pengerusi Jelawang Capital, Datuk Hisham Hamdan berkata, pengalaman Soh dalam pelaburan institusi, pembangunan perniagaan dan kepimpinan operasi dalam sektor teknologi Malaysia akan membantu organisasi itu ketika program-programnya terus berkembang.
Ujarnya, Soh akan menerajui hala tuju strategik Jelawang Capital dan memperkukuh pendekatan pelaburan melalui serta kerjasama dengan pengurus dana bagi terus merangsang ekosistem modal teroka dan syarikat pemula niaga negara.
Pada Januari 2026, Jelawang Capital membuka permohonan bagi pengambilan kedua Emerging Fund Managers’ Programme, dengan memperkenalkan proses cadangan secara berterusan sepanjang tahun kepada pengurus modal teroka Malaysia yang mengumpul dana pertama hingga ketiga mereka.
Bagi kohort pertama program itu, Jelawang Capital memilih Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move, manakala AppWorks dari Taiwan dan Granite Asia dipilih menerusi Regional Fund Managers’ Initiative untuk menyokong ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia.
Selain pelaburan melalui pengurus dana, Jelawang Capital turut bekerjasama dengan rakan strategik dalam program untuk pengasas dan pembangun teknologi, termasuk sesi pembina kecerdasan buatan (AI) di Kuala Lumpur bersama January Capital dan OpenAI pada Mei lalu.
Pada Julai 2026, Jelawang Capital turut menyediakan lokasi bagi Solana Builders Day, yang menghimpunkan pasukan teknologi Malaysia untuk mempamerkan projek mereka kepada pelabur serta pemain industri. - DagangNews.com






