Jijik! Warga Emas Didakwa Rogol, Liwat Gadis 18 Tahun

6 Oct 2026 • 2:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jijik! Warga Emas Didakwa Rogol, Liwat Gadis 18 Tahun

GEORGE TOWN - Seorang lelaki berusia 71 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang gadis berusia 18 tahun di sebuah kompleks beli-belah, minggu lalu.

Tertuduh, Chuah Cheng Seng, yang menghidap diabetes dan tidak bekerja, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam dialek Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di dalam tandas lelaki di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di Persiaran Gurney kira-kira jam 4.30 petang, 1 Oktober lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Chuah didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa yang sama, pada waktu dan lokasi sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen hadir bagi pihak pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam bela K. Mahendran.

Dalam prosiding itu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan mengambil kira usia lanjut, keadaan kesihatan serta status tidak bekerja anak guamnya.

Mahendran berkata, tertuduh bergantung kepada anaknya yang bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Hakim Juraidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan, selain mengenakan semua syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan kes dan penyerahan dokumen.

Sebelum ini, tertuduh direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan seksual itu.

Mangsa dalam kes berkenaan merupakan anak perempuan kepada majikan tertuduh. - Getaran, 6 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved