
KAPTEN Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Josue memilih untuk terus setia bersama The City Boys meskipun pasukan masih terpalit dengan isu luar padang sehingga menjejaskan rentak sempurna yang diharapkan pada awal musim ini.
Pemain berusia 37 tahun itu yang sudah bersama The City Boys sejak 2017 membuktikan komitmennya apabila membantu KL City meraih kemenangan pertama Liga Super musim ini selepas menewaskan DPMM FC 1-0, Sabtu lalu.
Josue mengakui masalah di luar padang bukan perkara baharu buatnya, namun pemain naturalisasi Harimau Malaya itu memilih untuk terus percaya bahawa KL City mampu menjadi lebih baik.
“Bukan saya sudah biasa dengannya, tetapi mungkin saya sentiasa berpegang kepada harapan bahawa pasukan dan kelab ini akan sentiasa menjadi lebih baik.
“Malangnya, masalah dan cabaran sentiasa datang. Tetapi, saya faham situasi pihak pengurusan dan bukan mudah untuk mereka menangani masalah yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.
“Buat masa ini, pengurusan sekarang tidak ada masalah membuat pembayaran gaji kami. Saya sayangkan kelab ini, saya suka bermain untuk KL dan keluarga saya juga suka tinggal di bandar ini.
“Saya tidak boleh lupakan lima perkara positif dan membuang semuanya hanya kerana satu perkara negatif,” katanya.
Sementara itu, Josue turut berharap peminat setia KL City kembali memenuhi stadium dan tidak menghukum pasukan selepas hanya 513 penyokong hadir menyaksikan kemenangan KL City ke atas DPMM di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebelum ini.
“Pemain tiada kaitan dengan masalah yang dibawa oleh pihak pengurusan. Kami perlu bangkit dan menghasilkan keputusan yang baik supaya penyokong kembali memenuhi stadium,” katanya.
The post Jiwa Josue kekal di KL City appeared first on Kosmo Digital.






