Jualan RM1 bilion tingkatkan daya tarikan kawasan industri EcoWorld di Negeri Sembilan - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan RM1 bilion tingkatkan daya tarikan kawasan industri EcoWorld di Negeri Sembilan - Penganalisis Image from: Jualan RM1 bilion tingkatkan daya tarikan kawasan industri EcoWorld di Negeri Sembilan - Penganalisis liza23/09/2026 - 10:28 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – Penjualan tanah RM1 bilion di Eco Business Park 7 (EBP7) di Negeri Sembilan kepada pengendali pusat data dari Singapura akan meningkatkan prospek pertumbuhan, pendapatan dan kedudukan kewangan Eco World Development Group Berhad, menurut penganalisis.

 

Kemasukan pengendali pusat data ke EBP7 itu dilihat sebagai perkembangan positif yang boleh meningkatkan daya tarikan kawasan perindustrian berkenaan kepada pelabur tempatan dan asing selain membantu EcoWorld membuka nilai daripada pegangan tanahnya.

 

Namun, penilaian dua firma penyelidikan terhadap saham EcoWorld berbeza apabila RHB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.66 manakala MBSB Research mengekalkan saranan Neutral dengan harga sasaran RM2.09.

 

RHB Research menggunakan penilaian berdasarkan diskaun 10% kepada nilai aset bersih yang diselaraskan (RNAV), dengan diskaun 10% turut dikenakan ke atas syarikat pegangan. 

 

Firma itu mengenal pasti permintaan hartanah yang lebih tinggi susulan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dan pemangkin daripada pembangunan infrastruktur sebagai pemacu utama.

 

Dari segi kewangan, RHB Research mengunjurkan keuntungan bersih berulang EcoWorld meningkat 23.4% kepada RM531 juta bagi FY2026, diikuti 9.2% kepada RM580 juta bagi FY2027 dan 15.7% kepada RM670 juta bagi FY2028.

 

Pendapatan sesaham pula diunjurkan meningkat daripada RM0.18 pada FY2026 kepada RM0.19 pada FY2027 dan RM0.22 pada FY2028. Pulangan atas ekuiti turut dijangka meningkat daripada 9.5% kepada 9.9% dan 10.8% bagi tempoh sama.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengendali pusat data Singapura beli tanah 89.8 hektar bernilai RM1 bilion di Negeri Sembilan

 

Dalam anggaran nilai aset bersih diselaraskan RHB Research, EBP7 mempunyai baki tanah seluas 1,195.4 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion. 

 

EcoWorld memegang kepentingan efektif 55% dalam EBP7, manakala lebihan bersih projek itu dianggarkan RM189.5 juta.

 

MBSB Research kekalkan saranan Neutral

MBSB Research pula mengekalkan saranan Neutral dengan harga sasaran RM2.09. Firma itu melihat penjualan tanah kepada Tera Data Centers sebagai positif kerana kemasukan pengendali pusat data dijangka meningkatkan prospek pertumbuhan EBP7.

 

Menurut MBSB Research, EBP7 mencatat momentum jualan yang baik sejak dilancarkan pada November 2025 dan transaksi itu mengukuhkan daya tarikan kawasan berkenaan kepada pelabur domestik serta asing.

 

“Harga jualan RM105 bagi setiap kaki persegi juga dilihat menarik berbanding kos tanah RM11 bagi setiap kaki persegi. Perbezaan tersebut menghasilkan peningkatan nilai yang ketara dan transaksi berkenaan boleh menjadi tanda aras baharu bagi nilai tanah dalam EBP7.

 

“Kami menjangka transaksi itu akan terus menyokong jualan hartanah EcoWorld. Kumpulan itu telah merekodkan jualan baharu RM3.28 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama FY2026, bersamaan 82% daripada sasaran jualan FY2026 sebanyak RM4 bilion.

 

“Dari segi kewangan, penjualan tanah itu dijangka meningkatkan keuntungan FY2027 dan FY2028. Berdasarkan andaian margin sebelum cukai 30%, kami menganggarkan keuntungan masing-masing meningkat 9% dan 17%, manakala hutang bersih kepada ekuiti dijangka bertambah baik kepada 0.13 kali daripada 0.22 kali pada 2QFY2026,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved